Thursday, November 20, 2008

SEKILAS PANDANGAN TENTANG POLITIK WANG

Menjelang pemilihan kepimpinan UMNO pada bulan Mac 2009 ini, pelbagai cerita tentang politik wang kedengaran diperkatakan oleh pemimpin-peminpin dan pengikut-pengikut politik diseluruh negara. Perkara ini juga selalu menjadi topik perbincangan pemerhati-pemerhati politik yang bersembang-sembang kosong di kedai-kedai kopi. Kelihatannya ramai yang melihat topik ini amat menarik untuk diperbincangkan di mana-mana.

Saya rasa politik wang ini bukan perkara baru, ia telah berlaku sejak dahulu lagi, cuma tidak dihebohkan sangat seperti pada hari ini. Pernah saya terdengar cerita dari seorang pemimpin tempatan yang mengatakan bahawa ada perwakilan yang membawa balik wang puluhan ribu ringgit selepas menghadiri pemilihan UMNO di Kuala Lumpur pada musim-musim pemilihan terdahulu. Ada pula yang dikatakan pernah menerima wang melalui akaun bank daripada pihak-pihak tetrtentu yang yang menjadi agen kepada pemimpin yang bertanding. Selain itu, terdapat pula cerita yang mengatakan ada perwakilan yang dipanggil oleh pemimpin tertentu dan diminta bersumpah sebelum menerima wang saguhati (mungkin boleh dipanggil wang sogokan). Ini cuma cerita yang saya dengar dan saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

Kalau beginilah keadaannya, tidak hairanlah kenapa ramai orang berebut untuk menjadi perwakilan. Politik wang ini berlaku secara kecil-kecilan di peringkat bawah dan secara lebih besar di peringkat yang lebih tinggi. Ini menunjukkan wang ringgit boleh membeli kuasa. Orang yang memiliki wang yang banyak boleh menggunakan wang untuk membeli kuasa, manakala orang yang ada kuasa boleh menggunakan kuasanya untuk mendapatkan wang yang lebih banyak. Wang dan kuasa sentiasa bantu membantu antara satau sama lain. Ini bermakna, kekayaan boleh menjadi pemboleh ubah kepada kuasa dan kuasa pula boleh menjadi pemboleh ubah kepada kekayaan atau wang ringgit.

Politik wang dalam UMNO harus dibendung habis-habisan kerana amalan tersebut boleh menjejaskan imej parti itu sendiri. Lebih baik wang yang berjuta-juta itu didermakan untuk pembangunan luar bandar daripada digunakan untuk kepentingan individu. Lebih-lebih lagi jika wang yang digunakan itu adalah hasil pendapatan daripada peluang-peluang yang diperolehi daripada kerajaan.

No comments: