Thursday, November 20, 2008

PENSTRUKTURAN SEMULA RTM BERI PELUANG KEPADA GOLONGAN KREATIF


KUALA LUMPUR 20 Nov. — Penstrukturan semula Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menambah dua saluran sedia ada kepada 19 saluran menjelang 2012 dilihat mampu memberikan peluang kepada golongan kreatif di negara ini untuk memasarkan hasil produk kreatif mereka.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, penstrukturan itu juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan selain menambah pendapatan negara dengan penjualan filem-filem tempatan yang mempunyai piawaian yang tinggi.

“Kalau ada piawaian yang tinggi, ia boleh dipasarkan ke luar (negara)".

Baru-baru ini, Malaysia dan Korea telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di mana mereka (Korea) telah membeli lebih 10 tajuk filem dengan anggaran perbelanjaan mencecah US$50 ribu.

“Para graduan yang belajar di universiti seperti Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing yang tidak dapat mengembangkan bakat dalam animasi, muzik, penerbitan dan sebagainya, di sinilah (RTM) tempatnya untuk mereka mengembangkannya selepas penstrukturan semula nanti. Kita mahu RTM dilihat sebagai pusat golongan kreatif,” katanya pada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Penerangan di Wisma Radio di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan penstrukturan semula itu, RTM juga bakal dilengkapi dengan sistem digital untuk setiap operasinya setanding dengan negara maju.

- BERNAMA

No comments: