Thursday, November 6, 2008

OBAMA JANGKA UMUM PEGAWAI-PEGAWAI UTAMA

CHICAGO 6 Nov. – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang akan mewarisi krisis kewangan terburuk di negara ini dalam tempoh berpuluh-puluh tahun, dijangka mengumumkan calon beliau bagi meneraju beberapa jawatan utama ekonomi, tidak lama lagi.

Obama juga mungkin mengumumkan calon beliau sebagai Setiausaha Perbendaharaan seawal hari ini.

Antara tokoh yang dipertimbangkan untuk jawatan Perbendaharaan ialah Presiden Bank Rizab Persekutuan cawangan New York, Timothy Geithner; bekas Setiausaha Perbendaharaan, Lawrence Summers dan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Paul Volcker.

Selepas memenangi pilihan raya kelmarin yang akan menjadikan beliau Presiden kulit hitam pertama AS, Obama juga semakin hampir untuk mengumumkan nama ketua kakitangan beliau.

Anggota Dewan Perwakilan Parti Demokrat dari Illinois, Rahm Emanuel telah ditawarkan jawatan mengetuai kakitangan Obama di White House, kata sumber Demokrat. - Reuters

No comments: