Tuesday, November 18, 2008

NOSTALGIA MENONTON "WAYANG PACAK"

Saya difahamkan Jabatan Penerangan Malaysia menghidupkan semula "Wayang Pacak" dengan menamakannya sebagai "Layar Bestari". Y.B. Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia telah melancarkan "Layar Bestari" di Kapit, Sarawak pada 24 Oktober, 2008 dan beliau dijangka akan melakukan pelancarannya bagi peringkat negeri Sabah di Pekan Nabawan pada 29 November, 2008.
.
Sebagai seorang yang tinggal di kampung semasa zaman kanak-kanak dan remaja, saya mempunyai pengalaman menonton "Wayang Pacak". "Wayang Pacak" mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kampung saya dan di kampung-kampung di sekitarnya pada era tahun 60an dan 70an. Penduduk kampung saya tidak memanggilnya "Wayang Pacak", tetapi mereka memanggilnya sebagai "Wayang Penerangan" atau "Wayang Free".
.
Sebelum menayangkan "Wayang Pacak", pegawai dari Jabatan Penerangan yang berpejabat di Pekan Beaufort mengirimkan jadual lawatan lebih awal kepada Ketua Kampung supaya ia dapat dihebahkan kepada penduduk kampung. Jadual lawatan Unit Bergerak Jabatan Penerangan itu ditampalkan oleh Ketua Kampung di papan kenyataan di Balai Raya.
.
Apabila tiba masanya pada hari tayangan wayang gambar, Pegawai Penerangan datang awal bersama-sama Operator Wayang Gambar dengan sebuah kereta "Land Rover" berwarna kelabu. Kereta itu kelihatan bertukar warna menjadi kekuning-kuningan akibat dihinggapi debu kerana melalui jalan raya yang belum berturap. Rambut mereka juga kelihatan sedikit berdebu kerana kereta yang mereka naiki tidak berhawa dingin.
.
Kedatangan mereka yang awal itu memberi peluang kepada mereka untuk bersembang-sembang atau beramah mesra dengan penduduk kampung yang datang awal. Jika ada belia kampung yang bermain sepak takraw atau bulu tangkis di gelanggang berhampiran dengan tempat tayangan, mereka mengambil peluang untuk sama-sama bermain bagi mengeratkan lagi hubungan mereka dengan penduduk setempat. Mereka sentiasa mesra dengan golongan tua, belia dan kanak-kanak. Rasanya Pegawai Penerangan dan Operator Wayang Gambar pada zaman kanak-kanak saya lebih dikenali oleh orang kampung berbanding dengan sesetengah pegawai kerajaan yang lain.
.
Mereka memainkan lagu-lagu patriotik untuk memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa mereka sudah datang ke kampung untuk menayangkan wayang gambar. Kalau tayang itu diadakan pada bulan Syawal, mereka memainkan lagu-lagu Selamat Hari Raya. Mereka menurunkan janakuasa (generator) dari kereta dan kemudian memasang kain layar dengan menggunakan dua tiang besi dan empat tali untuk menegakkan tiang tersebu. Janakuasa itu berat, sekurang-kurangnya memerlukan dua orang untuk mengangkatnya dan kain layar itu diperbuat daripada kain putih yang tebal. Biasanya, belia dan kanak-kanak yang berada di tempat itu dengan sukarela membantu Pegawai Penerangan dan Operator Wayang Gambar mendirikan kain layar dan mengangkat janakuasa.
.
Pegawai Penerangan yang datang ke kampung saya biasanya sangat mesra menjadikan mereka diterima baik oleh penduduk kampung. Mereka boleh menyesuaikan diri dengan penduk kampung. Antara Pegawai Penerangan yang sangat dikenali oleh penduduk kampung saya ialah Encik Lawrence Kamis Lasung dan adik beliau, Encik Goven Jobli Lasung. Kedua-dua mereka ini telahpun bersara. Penduduk kampung saya juga sangat kenal dengan Encik Daniel Tadam Baru, iaitu seorang Pegawai Penerangan yang lama bertugas di Pejabat Penerangan Daerah Beaufort.
.
Kebanyakan filem yang ditayangkan adalah filem hitam putih terbitan Filem Negara yang berbentuk dokumentari dan filem-filen berbentuk cerita seperti "Anak Seluang Jauh Melaut", "Kisah Kampung Kita" dan sebagainya. Kebanyakan filem yang ditayangkan bukannya setakat untuk hiburan semata-mata, tetapi mengandungi mesej-mesej tertentu yang bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu. Penduduk kampung amat terhibur menonton tayangan wayang gambar Jabatan Penerangan kerana mereka tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk mendapat hiburan dan maklumat yang sahih.
.
Biasanya Pegawai Penerangan memulakan tayangan wayang gambar pada jam 7.00 malam. Tayangan itu dimulakan dengan filem-filem pendek atau trailer, kemudian diikuti pula oleh filem-filem dokumentari dan seterusnya filem-filem berbentuk cerita. Lampu dinyalakan dan tayangan dihentikan seketika semasa tayangan filem yang terakhir (biasanya filem berbentuk cerita) bagi membolehkan Pegawai Penerangan menyampaikan ceramah pendek. Selepas ceramah baharulah filem terakhir disambung semula sehingga selesai.
.
Semasa mengadakan tayangan wayang gambar, Pegawai Penerangan juga biasanya membawa buah tangan yang mengandungi pelbagai maklumat seperti risalah, buku kecil, poster dan sebagainya untuk diedarkan kepada orang ramai.
.
Ada kalanya wayang gambar hanya ditayangkan di kampung lain dan bukan di kampung saya. Saya dan kawan-kawan saya sanggup berjalan kaki berbatu-batu (sekarang guna kilometer) untuk menonton wayang Jabatan Penerangan. Walaupun jauh, kami tidak terasa letih kerana kami berjalan kaki beramai.
.
Sebenarnya saya belum lagi pernah menonton "Wayang Pacak" yang diberikan nafas baru dengan namanya "Layar Bestari". Saya percaya penayangan "Layar Bestari" mempunyai peralatan yang lebih canggih berbanding dengan "Wayang Pacak" yang pernah saya tonton pada era tahun 60an dan 70an dahulu. Masih segar dalam ingatan saya bahawa Jabatan Penerangan hanya menggunakan peralatan yang agak simple seperti janakuasa, kain layar bertiang besi yang diperbuat daripada kain putih, projektor dan filem 16mm pada era tersebut. Bagaimanapun, perlatan-peralatan itu mungkin yang terbaik dan paling sesuai pada zamannya.
.

5 comments:

Urang Kita said...

Bila cerita pasal wayang free atau sekarang wayang pacak, teringat zaman kanak-kanak dulu dalam tahun 70 dan 80 an, amat senang hati saya dan rakan-rakan bila dengar orang penerangan mau tayang wayang gambar, kami duduklah di tengah-tengah padang tengok wayang. saya masih ingat lagi pegawai penerangan yang bagi syarahan masa itu encik Chan Kok Sing beliau sudah bersara.

Anonymous said...

Adalagi yang lebih menarik, Kakitangan Penerangan dahulu khususnya FO sekarang di kenali Pembantu Penerangan (PP) memang serba mengetahui persekitaran setiap kampong yang dilawati, se hingga bilangan mak Janda pun diaorang tau, apa lagi anak dara. pendek kata profil setiap kampong memang lengkap, tetapi sekarang ini bagaimana ya....

KADAYAN BANTING said...

Mungkin FO Penerangan dahulu mengikira bilangan janda dan anak dara waktu mereka menayangkan wayang gambar sebab ramai ramai janda dan anak dara biasanya keluar menonton. Itu lah seronoknya menonton wayang Penerangan dapat cuci mata tengok janda dan dara. Sekarang ni saya tak pasti sebab sudah lama tiada wayang di kampung saya.

Anonymous said...

Tapikan Bos, itu pengalaman kita orang sama-sama bah. yakan

KADAYAN BANTING said...

Apa-apa je lah, semua pengalaman itu berharga.