Wednesday, November 5, 2008

KALAU MAHU JADI PEMIMPIN..............

Bukan semua orang boleh jadi pemimpin. Kalau mahu jadi pemimpin kena tahan lasak. Ada kalanya pemimpin dihormati, disegani, disanjung dan dipuji tetapi ada kalanya pula pemimpin dicaci, dimarah, dikritik dan malah ada yang dibawa ke mahkamah.
.
Pernah saya terdengar daripada cerita orang lama bahawa pada awal tahun 60an dahulu susah mencari orang yang mahu bertanding sebagai wakil rakyat sehingga terpaksa minta kakitangan kerajaan meletak jawatan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya. Ini seolah-olah pada zaman itu tidak ramai orang yang mahu jadi pemimpin. Pada zaman sekarang ini lain pula keadaannya, orang semakin ramai yang berebut-rebut mahu jadi pemimpin sehingga sanggup melobi orang-orang tertentu dan sanggup menggunakan wang untuk memancing undi.
.
Saya juga pernah terdengar orang bercerita tentang perbezaan taraf kedudukan orang yang mahu jadi pemimpin di negara maju dan negara yang baru membangun. Mungkin yang dikatakan baru membangun itu ialah seperti pada zaman negeri kita mula-mula mencapai kemerdekaan dahulu. Orang yang mahu menjadi pemimpin di negara maju ialah orang yang sudah sedia kaya ingin mencari kuasa, tetapi orang yang mahu menjadi pemimpin di negara baru membangun ialah orang yang belum kaya ingin mencari kekayaan. Mungkin ini cuma andaian sahaja untuk dijadikan cerita berdasarkan pemerhatian fizikal terhadap pemimpin-pemimpin yang mempunyai rumah dan kereta besar setelah menjadi pemimpin. Sebelum menjadi pemimpin, rumah............ dan kereta ............
.
Adakah kekayaan menjadi pemboleh ubah (dependent variables) kepada kepimpinan ataupun kepimpinan menjadi pemboleh ubah kepada kekayaan ?

No comments: