Saturday, November 15, 2008

PRO Perlu Kreatif Sampaikan Maklumat Terkini, Kata Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Nov - Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu bertindak kreatif dalam menyebarkan maklumat serta peranan agensi mereka secara berkesan.
.
Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata mereka perlu berfikir lebih kreatif dalam menyampaikan dasar kerajaan kepada orang ramai tanpa bergantung kepada Kementerian Penerangan.
.
“Kementerian tidak boleh bergantung kepada RTM sahaja untuk sebarkan informasi mereka tetapi perlu cari alternatif lain yang lebih menarik. Sebaliknya RTM juga bersaing dengan stesen televisyen lain,” katanya pada Majlis Malam Mesra Media sempena pelancaran sistem e-Press di sini.
.
Sistem e-Press adalah perkhidmatan sebaran nota kepada pengarang dan siaran media secara online mengenai aktiviti kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan kenyataan rasmi pemimpin negara sama ada di peringkat pusat dan peringkat negeri.Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata kewujudan blog penulisan yang diilhamkan dari kemajuan teknologi mencetuskan situasi di mana tidak memerlukan organisasi media yang besar untuk menyebarkan maklumat.
.
Katanya, dalam lima tahun akan datang, generasi muda mungkin menerima blog dan ruangan perbualan seperti “facebook”, “skype”, “yahoo messenger” dan “YouTube” sebagai media aliran utama mereka berbanding televisyen, radio dan suratkhabar.
.
“Ini cabaran kepada pegawai perhubungan awam kita supaya bertindak lebih pantas lagi. Kalau anak umur 15 tahun sudah ada facebook, tahu guna You Tube, blog…jadi kita memerlukan pendekatan baru dengan e-Press,” katanya.
.
Beliau berkata Sistem e-Press akan memudahkan dan mempercepatkan sebaran maklumat terkini kepada semua media tempatan mengenai aktiviti pemimpin negara untuk dibuat liputan.
.
Perkhidmatan e-Press boleh dilayari secara percuma di laman web Jabatan Penerangan Malaysia iaitu www.media.inform.gov.my/e-press.
.
– BERNAMA
.

No comments: