Thursday, November 6, 2008

HARAM JUAL DI SABAH, TIDAK DI TRENGGANU

Polis marin telah merampas kira-kira 10,000 biji telur penyu yang diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di Sabah, khususnya di daerah Sandakan. Walaupun penjualan telur penyu diharamkan di Sabah tetapi ia masih juga dijual secara tersembunyi kerana permintaan orang ramai yang menggalakkan. Kata orang kampung saya, "taloo panyu di Sandakan dijual batapuk-tapuk." Kalau anda berkunjung ke Sandakan, mungkin anda terjumpa seseorang menggunakan isyarat dengan tangan sebagai memaklumkan bahawa dia ada menjual telur penyu. Pernah juga saya nampak orang yang memberikan isyarat dengan melanbung-lambungkan bola ping pong.
.
Penjualan telur penyu diharamkan di Sabah tetapi tidak diharamkan di Trengganu. Hari itu saya mengunjungi salah sebuah pasar di Trengganu dan saya melihat beberapa orang wanita menjual telur penyu secara terbuka. Apa yang saya lihat terdapat sekurang-kurangnya dua jenis telur penyu yang mereka jual. Seorang wanita yang menjual telur tersebut memberitahu saya bahawa salah satu jenis telur penyu yang dia jual itu adalah "telur penyu dari Sabah." Saya merasa hairan kenapa telur penyu Sabah hanya diharamkan dijual di Sabah dan tidak diharamkan dijual di Trengganu.
.
Hari itu saya pergi ke Kuala Penyu tetapi saya tidak nampak pun telur penyu dijual di sana. Apa yang saya nampak dalam perjalanan saya dari Beaufort hanya replika penyu yang diletakkan di bulatan persimpangan ke Kuala Penyu dan Menumbuk. Replika itu sangat indah sekali untuk tarikan pelancung dalam dan luar negeri.
.
Kalau anda ingin melihat replika penyu datanglah ke Kuala Penyu, kalau ingin melihat telur penyu di jual secara terbuka datanglah ke Kuala Trengganu, kalau ingin melihat telur penyu dijual dengan menggunakan isyarat datanglah ke bandar Sandakan dan kalau ingin melihat penyu datanglah ke Pulau Salingan, Sandakan.

No comments: