Monday, October 13, 2008

PERKATAAN "PEJABAT" BERMAKSUD "PEGAWAI"

Saya pernah menyertai pertukaran sementara ke Indonesia bersama-sama dengan seorang rakan dari Sarawak dan empat orang dari Semenanjung. Kami disambut dengan penuh hormat dan diberikan layanan yang sangat baik. Setiba kami di Lapangan Terbang Aantarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, kami dibawa menaiki kereta baru jenis "KIJANG" yang kerusinya masih lagi berbungkus plastik dan bertulis perkataan "Rombongan Pejabat...................Malaysia" di cermin hadapannya.

Apa yang menjadi tanda tanya saya ialah perkataan "pejabat" yang tertulis di cermin hadapan kereta tersebut kerana di Malaysia biasanya perkataan "pejabat" merujuk kepada ruang tempat bertugas atau bekerja dan bukannya pegawai yang bertugas di pejabat. Namun, saya tidak berani terus bertanya tentang maksud perkataan "pejabat' dalam bahasa Indonesia kerana baru saja tiba di sana dan belum begitu ramah dengan mereka.

Setelah benar-benar ramah dan mesra dengan mereka, barulah saya berani bertanya tentang maksud perkataan tersebut dalam bahasa Indonesia. Salah seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa dalam bahasa Indonesia perkataan "pejabat" itu bernaksud "pegawai" atau seseorang yang bekerja di "kantor" atau di "opis". Dalam perkataan lain, ia merujuk kepada seseorang yang bekerja di sesebuah Jabatan. Perkataan "gawai" dalam bahasa Jawa bermaksud "kerja". Ini bermakna perkataan "pegawai" itu bermakksud "pekerja". Setiap perkataan mengenai perbuatan yang mempunyai imbuhan "pe" di hadapannya bermaksud ada orang yang melakukannya. Contohnya, pelukis, penyanyi, penari, penyamun, penulis, pekerja, pelari dan sebagainya.

Apabila kembali ke Malaysia, saya merujuk Kamus Dewan untuk mengetahui pengertian perkataan "pejabat". Rupa-rupanya perkataan "pejabat" mempunyai sekurang-kurangnya dua makna, iatu "bangunan (ruang, bilik dsb) tempat bekerja atau tempat diselenggarakan pelbagai urusan" ataupun "pegawai kerajaan yang memegang jawatan penting, pemegang jawatan, penjabat". Menurut Kamus Dewan, perkataan "gawai" bermaksud "kerja" atau "tugas".

Adakah semua perkataan mengenai perbuatan yang mempunyai imbuhan "pe" di hadapannya bermaksud ada orang yang melakukannya? Bagaimana dengan perkataan "penyapu" yang berasal daripada kata dasar "sapu". Perkataan "penyapu" tidak bermaksud ada orang yang melakukan kerja menyapu tetapi ia merupakan satu peralatan untuk menyapu. Kalau ada orang melakukannya, pekataan "sapu" ditambah dengan perkataan "tukang" , iaitu "tukang sapu". Saya tidak tahu kenapa penggunaan imbuham "pe" dalam perkataan "penyapu" tidak selaras dengan penggunaan imbuhan "pe" dalam perkataan "pelukis", "penyanyi", "penari", "penyamun", "penulis", "pekerja" dan "pelari".

1 comment:

abangdamet said...

Sewaktu menyertai lawatan ke Indonesia pada 1993, saya juga melalui pengalaman yang serupa. Salah seorang daripada kami bertanya kepada rakan (orang Indonesia) yang mengiringi rombongan. Katanya, "... di mana 'ibu pejabat" departmen....". Lalu dijawab "... ibu pejabat sudah meninggal dunia".

Rupa-rupanya 'ibu pejabat' di Indonesia bermaksud 'isteri' kepada ketua pejabat atau 'kepala kantor', kerana pejabat bermaksud 'orang yang menjawat' sesuatu jawatan. Jabatan pula bermaksud 'jawatan' yang dipegang.

Benarlah kata orang-orang tua, "... jauh perjalanan luas pemandangan", banyak pengalaman, bertambah pengetahuan.