Sunday, October 26, 2008

TAMU

Kalau kita menyebut perkataan "tamu", semua penduduk negeri Sabah faham dan dapat menggambarkan apa yang dikatakan sebagai "tamu" itu kerana istilah "tamu" telah diterima pakai secara meluas di negeri ini. Menurut Bahasa Melayu yang standard, perkataan "tamu" bermaksud orang yang datang mengunjungi orang lain seperti menghadiri jamuan dan sebagainya, tetapi dalam konteks ini "tamu" dimaksudkan sebagai pekan atau pasar sehari. Ada kemungkinan besar bahawa perkataan "tamu" itu berasal daripada perkataan "temu" (bertemu) yang bermaksud berjumpa kerana "tamu" merupakan satu pasar atau pekan sehari sebagai tempat perjumpaan di kalangan para peniaga dan para pembeli. Mungkin juga perkataan "temu" itu disebut "tamu" oleh sesetengan penduk negeri Sabah yang tinggal di sebelah Pantai Barat kerana dari segi sejarahnya "tamu" dikesan bermula di Pantai Barat negeri ini. Namun, pada hari ini "tamu" juga sudah diadakan di sebelah Pantai Timur.

Sebenarnya "tamu" sudah wujud sekian lama di negeri Sabah, iaitu sejak penduduk negeri ini masih lagi mengamalkan sistem "tukar barang" (barter trade). Nelayan yang membawa ikan, kerang, udang, ketam dan sebagainya boleh bertukar barangan dengan petani yang membawa beras, ubi, keladi, sayur dan sebagainya apabila mereka bertemu di "tamu" pada masa-masa tertentu. Hari ini pelanggan boleh membeli perbagai jenis barangan di "tamu" dengan mengunakan wang secara tunai dan tidak mustahil suatu masa nanti pelanggan akan menggunakan kad kredit.

Antara "tamu" yang mendapat sambutan baik ialah "tamu" di Gaya Street, Kota Kinabalu pada setiap hari Ahad. Selain di Gaya Street, banyak lagi "tamu" di tempat-tempat lain yang diadakan seminggu sekali seperti Tamu Putatan setiap Ahad, Tamu Papar setiap Ahad, Tamu Kota Belud setiap Ahad, Tamu Beaufort setiap Sabtu, Tamu Kudat setiap Rabu dan sebagainya. Tamu boleh menjadi tarikan pelancong dan boleh menjana pendapatan peniaga-peniaga kecil tempatan.

Pihak kerajaan menganjurkan "Tamu Besar" secara berkala. Baru-baru ini "Tamu Besar" telah diadakan di Kota Belud dan sambutannya amat menggalakkan. "Tamu Besar" dianjurkan oleh pihak kerajan sebagai salah satu usaha untuk menarik pelancung dari laur negara dan tempatan, di samping memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan menjual dan mempromosi produk mereka.

Salah satu tapak "tamu" zaman dahulu yang dapat dikesan ialah di Inobong, Penampang. Terdapat "Batu Sumpah" di kawasan tamu tersebut sebagai tempat pemimpin-pemimpin pelabagai suku kaum bersumpah untuk tidak melakukan sebarang pergaduhan semasa "tamu" diadakan. Ada yang mengatakan binatang disembelih di tempat itu dan darahnya dititiskan di atas "Batu Sumpah". Kawasan "tamu" adalah dianggap sebagai kawasan berkecuali (neutral ground) di mana tiada sesiapapun dibenarkan bergaduh. Sesiapa yang bergaduh di kawasan tamu akan dimakan sumpah. Bersumpah adalah cara yang paling mudah dan amat sesuai untuk mengawal orang ramai daripada bergaduh pada zaman itu kerana polis tidak mencukupi (tidak ada langsung) untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam. Mereka percaya bahawa sesiapa yang melanggar sumpah akan mendapat malapetaka. "Tamu" pada hari ini tidak lagi memerlukan "Batu Sumpah" kerana kerajan mempunyai anggota polis yang mencukupi untuk mengawal keselamatan semasa "tamu".
.
Pada zaman dahulu mereka tidak mempunyai kalender. Mereka menggunakan tali bersimpul yang diperbuat daripada kulit kayu timbagan untuk mengetahui bila "tamu" berikutnya akan diadakan. Jika "tamu" itu diadakan seminggu sekali maka mereka menyimpul tali itu tujuh kali (tujuh simpulan). Mereka menggantung tali yang bersimpul itu di muka pintu rumah dan memotong satu simpulan pada setiap hari. Melihat daripada baki simpulan tali itu, mereka dapat mengetahui bila mereka perlu bertolak dari rumah untuk pergi ke "tamu". Contohnya, jika perjalanan ke "tamu" memakan masa dua hari, mereka perlu bertolak apabila memotong simpulan yang kelima supaya mereka boleh sampai ke "tamu" selewat-lewatnya pada malam sebelum "tamu".

No comments: