Wednesday, October 29, 2008

TANAMAN NANAS DI KAMPUNG BANTING

Mjoriti penduduk kampung Banting adalah petani yang mengusahakan tanaman nanas persendirian secara kecilan-kecilan. Pengetahuan mereka mengenai cara-cara menanam nanas adalah melalui pengalaman mereka sendiri dan bukannya melalui tunjuk ajar pakar-pakar profesional. Penanaman nanas di kampung tersebut dimulakan sejak sekian lama oleh beberapa generasi terdahulu untuk kegunaan persendirian.

Nanas mudah ditanam dan bibitnya senang diperolehi, iaitu boleh menggunakan bibit daripada anak nanas ataupun menggunakan jambulnya (panggilan dalam dialek Kadayan). Apa yang dipanggil jambul nanas oleh penduduk kampung tersebut ialah anak nanas yang tumbuh di bahagian atas buah nanas (seperti dalam gambar hiasan di atas). Nanas mudah tumbuh di kampung Banting tanpa memerlukan penjagaan yang rapi kerana jenis tanah di kampung tersebut adalah sesuai untuk tanaman nanas. Pernyataan ini bukanlah berdasarkan kajian secara saintifik tetapi adalah berdasarkan pemerhatian saya sendiri sebagai penduduk kampung tersebut.

Buah nanas yang terdedah kepada cahaya matahari dikatakan lebih manis daripada buah nanas yang terlindung. Bagaimanapun, kalau buah nanas itu terlalu terdedah kepada cahaya matahari yang panas, ada kemungkinan buah nanas itu menjadi rosak dan boleh menyebabkan pelanggan kurang berminat untuk membelinya kerana nanas itu menjadi kurang cantik. Ada yang mengatakan nanas memerlukan sedikit perlindungan pokok-pokok kecil tanpa menghalang sepenuhnya cahaya matahari supaya buah nanas itu kelihatan lebih berkualiti untuk pasaran.

No comments: