Friday, October 24, 2008

CERITA PANGAIT (PENGAIT)

Semasa zaman kanak-kanak saya dahulu, orang kampung saya selalu bercerita tentang pangait atau pengait (headhunter). Pangait dikatakan adalah orang yang disuruh oleh pihak tertentu untuk memotong kepala manusia sebagai kalambigi. Perkataan kalambigi adalah perkataan dalam dialek Kadayan yang saya sendiri tidak tahu maknanya secara tepat dalam bahasa Melayu. Apa yang saya difahamkan berdasarkan cerita orang-orang tua terdahulu, kalambigi itu dikaitkan dengan kepala manusia yang ditanam di bawah tiang jambatan semasa pembinaannya supaya jambatan itu kukuh dan tidak runtuh. Setiap bangunan yang besar dikatakan memerlukan kalambigi. Ini cuma cerita orang-orang tua pada zaman kanak-kanak saya deahulu. Cerita seperti ini tidak timbul lagi pada zaman sekarang.
.
Pangait bukannya ada pada sepanjang masa, ia cuma ada pada musim-musim tertentu sahaja. Kanak-kanak dilarang bermain jauh-jauh pada musim pangait, terutamanya pada waktu malam. Saya pernah terdengan orang mengatakan bahawa pangait lebih menakutkan daripada hantu.
.
Walaupun pangait dikatakan sentiasa mengintai di mana-mana dan bersebunyi di hutan rimba berdekatan dengan kampung tetapi tidak pernah terdengar ada orang kampung yang dipenggal kepala oleh pangait. Hutan rimba yang dikatakan sebagai tempat pangait bersembunyi dan mengintai itu sudah tidak ada lagi pada masa ini. Hutan itu sudah di tebas dan dibersihkan untuk tanaman nanas. Sebahagian daripada buah nanas manis yang dijual di gerai di tepi jalan Beaufort-Sipitang itu sebenarnya adalah hasil tanaman penduduk kampung Banting di atas tanah yang pada zaman dahulu dikatakan tempat pangait bersembunyi.

1 comment:

Zull Klana said...

Mun dikami, biasa kami menyabut pangait atu penyadau