Thursday, October 9, 2008

MAKAN-MAKAN TAHUN

Pada zaman dahulu suku kaum Kadayan mengadakan "makan-makan tahun" pada setiap tahun. Biasanya "makan-makan tahun" diadakan selepas ngatam (menuai) padi. "Makan-makan tahun" bermaksud "kenduri tahunan" dalam Bahasa Melayunya.

Mungkin ramai generasi muda Kadayan hari ini yang tidak pernah menghadiri "makan-makan tahun" atau tidak tahu langsung apa yang dikatakan "makan-makan tahun" kerana akhir-akhir ini "makan-makan tahun" tidak pernah diadakan lagi. Contohnya, di kampung saya sudah berpuluh-puluh tahun tidak ada "makan-makan tahun".

"Makan-makan tahun" merupakan kenduri kesyukuran selepas menuai padi seperti Pesta Menuai yang disambut oleh suku kaum Kadazandusun pada setiap tahun. Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi pengisiannya kerana "makan-makan tahun" bukannya satu pesta yang diisikan dengan perkara-perkara yang berunsur hiburan seperti tarian, nyanyian dan sebagainya. Kenduri tersebut diiringi dengan doa selamat dan kesyukuran.

Antara kelainan "makan-makan tahun" daripada kenduri biasa ialah dari segi hidangan makanannya. Hidangan "makan-makan tahun" ialah nasi tumpang, iaitu nasi yang dihias dengan telur dadar, kuih penyaram, pisang, wajid, inti kelapa parut dan tampisung sia (garam diisi dalam daun niyik yang digubah berbentuk cone). Saya kurang pasti, mungkin ada lagi makanan lain yang dibubuh di atas nasi. Selain daripada semasa "makan-makan tahun", nasi tumpang juga dihidangkan semasa ganapan ampat puluh (kenduri 40 hari) dan nandayi (meletak batu nisan) bagi orang yang telah meninggal dunia pada zaman dahulu. Ini bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh agama Islam.

No comments: