Secara keseluruhannya, semua rakyat di negara ini mendapat manfaat yang amat besar daripada kemerdekaan negara. Kita patut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah membebaskan kita daripada belenggu penjajahan. Kita juga patut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin kita yang ada pada hari ini kerana menyambung perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam usaha untuk mengisi kemerdekaan negara.
Pembangunan negara kita semakin pesat, hutan rimba bertukar menjadi kampung, kampung bertukar menjadi pekan, pekan bertukar menjadi bandar dan bandar bertukar menjadi badaraya Bangunan-bangunan mencakar langit tumbuh seperti cendawan di pusat-pusat bandar. Bukit diratakan dan laut ditimbus untuk membolehkan bangunan-bangunan baru didirikan. Inilah yang dikatakan pembangunan semakin pesat di negara kita. Sesetengah kampung yang dahulunya jauh ketinggalan, kini sudah diberikan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air, telefon dan sebagainya.
Namun demikian, tidak dinafikan bahawa pembangunan di bandar berkembang jauh lebih cepat berbanding dengan pembangunan di kampung. Apabila pembangunan di bandar lebih cepat daripada pembangunan di kampung maka akhirnya jurang antara kampung dan bandar semakin sehari semakin luas. Sebagaimana yang saya perhatikan, jalan raya di Kota Kinabalu telah di turap berulang kali tetapi jalan raya yang menuju masuk ke kampung saya, iaitu Kampung Banting, Beaufort hingga hari ini belum lagi berturap. Rasanya banyak lagi kampung lain yang mempunyai nasib yang sama seperti kampung saya. Saya melihat perkara seperti ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab supaya ia tidak dijadikan isu politik suatu masa nanti. Ada kemungkinan perkara seperti ini terlepas pandang oleh pihak-pihak tertentu kerana ada tempat lain yang lebih penting untuk diambil perhatian.
Sebenarnya penduduk kampung saya mengharapkan jalan hanya lebih kurang dua kilometa\er itu dapat di turap. Kadang-kadang terdengar juga suara-suara penduduk kampung yang mengatakan, "dahulu uja dangan kan kana taa sudah jalan ni tapi pewuntukannya kana alih ka tampat lain,". Ini cuma sembang-sembang kosong di antara mereka yang mereka pun kurang pasti sejauh mana kebenarannya.
Walaupun penduduk kampung saya merasa sedikit terpinggir daripada arus pembangunan tetapi mereka sentiasa sabar menunggu. Mereka berkeyakinan tinggi bahawa suatu masa nanti jalan menuju masuk ke kampung Banting itu akan diturap juga akhirnya. Cepat atau lambat pelaksanaannya adalah terserah kepada kebijaksanaan pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tahu penduduk kampung saya adalah orang yang sabar kerana "budaya sabar" itu adalah budaya yang mereka warisi daripada generasi terdahulu. Rata-rata mereka adalah penyokong setia kerajaan sejak Sabah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963.
No comments:
Post a Comment