Monday, April 6, 2009

PIKAT PUNAI GUNA RUMAH 'BUMBUN'

Oleh Jinius Pandakin
.
SIPITANG: Biasanya kita hanya mendengar burung ditangkap menggunakan jerat, guna getah kayu atau pukat burung. Namun Suku Kedayan di Sipitang mempunyai cara tersendiri dan unik untuk menangkap burung, terutamanya burung punai tanah.
.
Burung punai tanah seakan-akan seperti burung merpati tetapi saiznya agak kecil.
.
Selain kepakaran memikat burung, suku Kedayan juga terkenal dengan tarian Anding dan permainan muzik kayu Sadaman. Kaum Kedayan kebanyakannya tinggal di daerah Sipitang. Selain Sipitang masyarakat ini juga tinggal di Beaufort, Labuan, Merapok dan Lawas di Sarawak.
.
Cara menangkap burung oleh orang Kedayan disebut dalam dialek mereka sendiri 'melagau'bermaksud 'memanggil'.
.
Seorang penangkap burung, Shunie Adi, 50, berkatauntuk 'melagau' burung dia perlu membina sebuah rumah kecil yang dinamakan 'bumbun'.
.
Berasal dari kampung Sungai Bubus, kira-kira 6.5 km dari bandar Sipitang, Shunie berkata, 'bumbun' itu dibuat seperti rumah 'Red Indian' zaman 'koboi' di Amerika.
.
"Bumbun ini diperbuat daripada anak-anak kayu sebanyak tujuh batang yang lurus dan ditutup dengan daun-daun. Bumbun ini boleh menempatkan satu atau dua orang di dalam dan jika dilihat dari luar, burung yang di 'lagau' (dipanggil) tidak akan sedar ada sesiapa di dalam 'bumbun' itu.
.
Di depan, lubang kecil 'bumbun' ini dibuat satu tapak seperti padang kecil tempat burung-burung punai hinggap. Tapakmini jaraknya tujuh tapak kaki dari 'bumbun' dan tujuh tapak kaki lebar orang dewasa yang dibersihkan. Semasa memanggil burung, tapah ini ditabur makanan seperti padi atau jagung.
.
Satu alat khas yang dipanggil 'dukut' diperbuat daripada bambu nipis yang ukur lilit bulatannya 4 sm dan 98 sm panjang dan hujungnya disambung dengan buluh nipis berbentuk seperti alat muzik.
.
Alat ini ditiup dari dalam bumbun yang mengeluarkan bunyi seperti burung punai tanah iaitu 'poo'. Ia ditiup tujuh kali berselang seli. Bunyi dukut itu akan menjadi tarikan burung yang ada di sekitarnya.
.
Kata Shunie, burung yang datang di tapak rumah 'bumbun' itu, semasa memakan umpan yang ditabur akan menjadi leka.
.
"Sebelum 'melagau' dilakukan, terlebih dahulu 'mantera' dibaca dan beberapa petua dilakukan sebanyak tujuh kali, mengambil tujuh helai daun kayu yang tumbuh dari arah depan bumbun bertujuan memanggil semangat burung itu dan tapak di mana burung itu turun juga ditanam 'benda' yang boleh menarik perhatian burung suoaya datang ke tempat tersebut.
.
"Beberapa 'gerakan' seperti memusing-musing dukut sebanyak tujuh kali akan dilakukan oleh si pemanggil di depan bumbun sebelum memulakan kerja melagau", katanya.
.
Shunie turut 'menurunkan' sedikit penulis dan mendedahkan 'benda' yang dikuburkan. Tetapi ia dirahsiakan.
.
Jika silap melagau kata Shunie, lain yang akan datang. 'Orang halus' yang menyerupai binatang atau perempuan yang akan datang.
.
Menurutnya, jika ada sekumpulan lalat besar berwarna hijau, maka ini bermakna ada sesuatu yang cuba menganggu. Tetapi biasanya kejadian seperti ini jarang berlaku.
.
Dalam pada itu, burung-burung yang mendengar bunyi dukut itu akan turun betul-betul di tapak yang disediakan dan akan menjadi jinak seperti 'dipukau'.
.
Burung itu juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Namun cara ini akan menakutkan burung yang lain.
.
Semasa burung leka makan makanan yang ditabur, pada masa itulah sipenangkap mengikatdi bahagian leher burung menggunakan tali penarik yang dipanggil 'jahil'. Satu persatu burung itu dikait dan ditarik secara perlahan-lahan masuk ke dalam 'bumbun'.
.
Anehnya, burung yang dikait tidak akan melawan dan tanpa disedari oleh burung-burung yang diperangkap di sana.
.
"Burung yang dijahil itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam kurungan khas," kata Shunie menambah kekuatan mantera boleh menarik perhatian binatang lain seperti pelanduk, kijang atau payau.
.
"Ayah saya pernah menangkap seekor kijang menjerat kaki kijang menggunakan tali dari akar kayu yang teguh. jika ada banyak burung, biasanya sipenangkap akan mendapat di antara 14 ekor dan 70 ekor sehari.
.
"Burung ini dijual dengan harga RM3.50 seekor dan laris di Sipitang," katanya.
.
Menuruutnya, bulan Jun dan Julai adalah musim burung punai kerana pada bulan inilah ada banyak buah kayu digemari burung ini.
.
Summber: Harian Ekspres, 7 April 2009
.
NOTA:
.
Pada zaman kanak-kanak saya dahulu, saya sendiri pernah turut melagau punai (kami panggil punai tanah) dengan menggunakan dukut seperti yang diceritakan oleh Encik Shunie dalam artikel di atas. Saya sendiri juga pernah membuat bumbun tetapi tidak begitu menjadi kerana terlalu banyak pantang larangnya.
.
Alangkah menakutkannya kalau tiba-tiba ular masuk ke dalam bumbun apabila kita sedang berada di dalamnya atau kita sedang melagau. Amat menyakitkan sekali kalau bumbun kita dipenuhi oleh "semut api" (dipanggil halimbada dalam dialek Kadayan) ketika kita memasukinya pada waktu pagi. Begitulah pengalaman yang pernah saya lalui semasa melagau pada zaman kanak-kanak saya dahulu.