Tuesday, October 7, 2008

"MALAM TUJUH" TRADISI KADAYAN

Etnik Kadayan di kampung saya mengadakan "malam tujuh" pada setiap bulan Ramadhan. Mungkin etnik lain tidak mempunyai tradisi mengadakan "malam tujuh"seperti yang dilakukan oleh etnik Kadayan di kampung saya. "Malam tujuh" merupakan salah satu tradisi etnik Kadayan yang berunsur keagamaan, yang diamalkan oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, iaitu mempunyai unsur yang hampir sama seperti "kenduri arwah" yang diamalkan oleh sesetengah etnik lain yang beragama Islam di Sabah. Etnik Kadayan di kampung saya tidak mengadakan "kenduri arwah."

Pada zaman dahulu "malam tujuh" diadakan pada "malam tujuh likur", iaitu pada malam 27 Ramadhan. Bagaimanapun, "malam tujuh" boleh dadakan pada salah satu malam dalam tujuh malam terakhir setiap bulan Ramadhan. "Malam tujuh" diadakan pada akhir bulan Ramadhan mungkin ada kaitannya dengan sebuah Hadis yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. berkata, Malam Qadar itu ialah dalam tujuh hari terakhir bulan Ramadhan. Dalam sebuah Hadis yang lain, Nabi berkata Lailatul Qadar itu adalah dalam sepuluh malam terakhir.

Tarikh "malam tujuh" di kampung saya biasanya ditentukan melalui perbincangan di kalangan golongan tua dengan diketuai oleh seorang yang berpengaruh dan berpengalaman. Walaupun orang yang mengetuai itu bukannya pemimpin politik atau pemimpin yang dilantik oleh kerajaan, tetapi beliau sentiasa dihormati dan dipercayai oleh penduduk kampung. Pemimpin kampung disegani dan dihormati pada ketika itu bukannya atas dasar surat pelantikannya secara rasmi tetapi lebih kepada kewibawaan yang beliau tunjukkan. Secara sendirinya potensi untuk menjadi pemimpin itu menyerlah apabila seseorang itu jujur, amanah, boleh dipercayai serta berilmu pengetahuan dari segi adat resam dan hal ehwal keagamaan.

Beberapa hari sebelum "malam tujuh" penduduk kampung sudah mula membuat persiapan. Suri rumah atau wanita pergi membeli-belah untuk pelbagai keperluan "malam tujuh" seperti makanan dan minuman. Antara keperluan yang mereka beli ialah bawang, asam garam, gula, kopi, teh, minyak masak, rempah kari, roti dan sebagainya. Beras tidak payah dibeli kerana penduduk kampung masing-masing menanam padi secara kecil-kecilan untuk sara diri. Ayam kampung, ikan dan sesetengah sayur-sayuran juga boleh dikatakan tidak payah dibeli. Ayam mereka ternak sendiri, ikan mereka tangkap di laut dan di sungai, lokan (sejenis kerang) mereka kutip sendiri di kawasan paya bakau berhampiran, umbut kelapa boleh dijadikan sayur dan santan kelapa yang mereka perah adalah hasil dari kelapa yang mereka tanam sendiri. Kadang-kala daging pun tidak payah dibeli jika kaum lelaki yang berburu ke hutan pada malam sebelum "malam tujuh' mendapat rusa, kijang atau pelanduk untuk dijadikan lauk.

Walaupun pada masa itu keadaan ekonomi penduduk kampung tidaklah seberapa sangat kalau dibanding dengan hari ini, tetapi mereka sanggup mengadakan majlis yang semata-mata bergantung kepada sumbangan ikhlas masing-masing. Ini menunjukkan adanya semangat bekerjasama dan bermuafakat di kalangan penduduk kampung. Begitulah budaya yang mereka amalkan sejak zaman berzaman.

Pada zaman dahulu "malam tujuh" diadakan di rumah kerana tidak ada masjid/surau atau balai raya di kampung itu untuk tempat mengadakan majlis tersebut. Salah seorang daripada penduduk kampung yang berpengalaman, berpengaruh dan dihormati diberi kepercayaan untuk mengetuai "malam tujuh" yang biasanya diadakan di rumah beliau sendiri atau di rumah sanak saudara beliau. Beberapa hari sebelum "malam tujuh" diadakan, seluruh masyarakat kampung bergotong royong mendirikan taatak (teratak) atau sejenis pondok tidak berdinding ataupun cuma berdinding separuh sebagai tempat berehat, berteduh, menyediakan pelbagai bahan-bahan keperluan, meletak pinggan mangkuk dan sebagainya. Taatak itu juga dijadikan tempat makan semasa "malam tujuh" sekiranya ruang dalam rumah tidak dapat menampung tetamu yang hadir.

Sejak awal-awal pagi lagi penduduk kampung sudah mula berkumpul untuk membuat pelbagai persiapan "malam tujuh". Masing-masing mereka melaksanakan tugas tanpa diarah sambil bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan antara satu sama lain. Mereka yang berpengalaman biasanya mengetuai dan memberi tunjuk ajar kepada generasi yang lebih muda. Bagi yang kurang berpengalaman pula, mereka melaksanakan kerja-kerja ringan seperti menyusun kuih-muih dan menyususn pinggan-mangkok. Kaum lelaki memasak nasi, bubur dan sebagainya di kawasan halaman rumah. Kanak-kanak riuh-rendah berkeliaran, berkejar-kejaran sesama mereka, di kawasan berhampiran.

Pada sebelah petang mereka balik ke rumah masing-masing untuk bersalin pakaian. Sebelum meninggalkan rumah untuk berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama di tempat "malam tujuh", mereka menyalakan pelita atau obor di kawasan rumah dan jalan menuju ke rumah. Ada mereka yang menyalakan damar atau ketulan getah dalam tempurung kelapa sebagai lampu. Ini semuanya bergantung kepada kemampuan dan kemahuan masing-masing. Apa yang penting, kawasan rumah dan jalan menuju ke rumah mereka diterangi oleh cahaya pada malam tersebut. Ada cerita yang mengatakan, mereka memasang lampu bertujuan supaya roh datuk nenek mereka yang berada di alam kubur senang mengunjungi rumah anak cucu mereka. Arwah datuk nenek mereka yang sudah meninggal dikatakan turut sama menghadiri "malam tujuh". Bagaimanapun, ini berdasarkan cerita-cerita yang kurang jelas tentang kepercayaan orang pada zaman dahulu.

Sebelum masa berbuka puasa, penduduk kampung berkumpul di tempat "malam tujuh" diadakan dan jemputan dari kampung-kampung berdekatan datang berduyun-duyun untuk berbuka puasa bersama-sama pada malam itu. Semasa berbuka puasa, para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti kuih-muih, bubur kacang hijau, bubur mee kuning yang mereka panggil "bubuu laksa" dan sebagainya. Kemudian diikuti pula dengan hidangan nasi. Pada malam itu diadakan juga bacaan doa selamat, doa arwah, tahlil dan khatam al-Quran. Sebagai penutup majlis, jamuan ringan dihidangkan.

Tugas menghidang makanan selalunya dilakukan oleh kaum remaja. Remaja lelaki menghidang di tempat lelaki dan remaja wanita menghidang di tempat wanita. Lalaki dan wanita menikmati jamuan di tempat yang berasingan. Kanak-kanak pula tidak diberikan sebarang tugas dan mereka dibiarkan bermain di kawasan rumah, tetapi dilarang bermain jauh-jauh di tempat-tempat gelap. Kanak-kanak diberitahu bahawa pada malam itu banyak "kait sanggul" berkeliaran. Apa yang dikatakan sebagai "kait sanggul" itu pun sebenarnya adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak seorang pun yang saya temui pernah melihat "kait sanggul". Mungkin ini hanya digambarkan bahawa ramai yang datang dari alam kubur dengan sanggul mereka berkait-kait untuk turut serta mengunjungi "malam tujuh". Mungkin juga ia hanya rekaan orang-orang terdahulu untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak berkeliaran jauh-jauh pada malam itu.

Walaupun "malam tujuh" mempunyai unsur keagamaan tetapi masih ada perkara-perkara penting yang kelihatannya terabai. Tempat solat fardhu maghrib dan isya tidak disediakan semasa "malam tujuh", dan ini menyebabkan ramai tetamu tidak menunaikan solat, sedangkan ia adalah perkara yang wajib sebagai orang Islam. Bagaimanapun, "malam tujuh" pada zaman sekarang agak berbeza daripada "malam tujuh" pada zaman dahulu. "Malam tujuh"bukan lagi diadakan di rumah orang perseorangan tetapi diadakan di masjid. Pada hari ini "malam tujuh" sudah diisikan dengan solat maghrib, isya dan tarawikh selain doa selamat, doa arwah, tahlil dan khatam al-Quran. Kewajipan agama semakin dititik beratkan. Selain itu, "malam tujuh" juga diadakan secara bergabung oleh kampung-kampung yang berhampiran.



No comments: