Thursday, September 25, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, kepada saudara-saudari yang menengunjungi atau melayari blog ini. Saya minta maaf kerana tidak berkesempatan untuk mengirimkan kad Selamat Hari Raya kepada saudara-saudari sekalian.

Saya teringat pada zaman saya masih kanak-kanak dahulu. Pada ketika itu saya amat gembira apabila menerima kad ucapan selamat hari raya daripada rakan-rakan saya. Saya juga sesekali mengirimkan kad hari raya kepada mereka, tetapi tidaklah sebanyak mana, kerana kemampuan saya untuk membeli kad dan stem pada ketika itu amat terhad. Maklumlah, saya masih bergantung kepada ibu bapa dan tidak mempunyai pendapatan sendiri.

Apabila sudah dewasa dan bekerja, saya mula mengirim dan menerima kad hari raya semakin banyak kerana saya semakin berkemampuan untuk membelinya dan kawan-kawan saya pula semakin ramai dari semasa ke semasa. Kad hari raya yang terima daripada kawan-kawan biasanya saya gantung di dinding atau di mana-mana saja yang saya difikirkan sesuai. Kawan-kawan saya pun begitu juga, mereka menggantung kad hari raya di ruang tamu rumah mereka. Ada juga yang menggantung kad hari raya lama (kad hari raya tahun-tahun sebelumnya) supaya kad hari raya yang digantung itu nampak banyak.

Sejak akhir-akhir ini lain pula keadaannya. Semakin saya berusia semakin sedikit bilangan kad hari raya yang saya terima. Ucapan selamat hari raya tidak lagi diterima melalui kad, tetapi kebanyakannya melalui sistem pesanan ringkas (sms) dan e-mel. Nampaknya, banyak ucapan selamat hari raya yang saya terima pada tahun-tahun kebelakangan ini amat tidak sesuai digantung di ruang tamu. Saya rasa tidak perlulah kita kita gantung ucapan hari raya itu di ruang tamu kalau ia diterima melalui sms atau e-mel.

Bagaimanapun, Kad Selamat Hari Raya masih lagi relevan digunakan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS
MAAF ZAHIR DAN BATIN

1 comment:

Anonymous said...

Salam..
Kita sebagai individu di dalam sesebuah negeri yang mempunyai berbilang kaum dan agama sepatutnya mengambil peluang ini utk menjaga kesejahteraan dan hubungan harmoni antara kaum. Ketika negara dilanda kemelut politik dan ekonomi yang amat kritikal pada waktu ini seharusnya dilupakan buat seketika utk memberi laluan kepada aidilfitri yg menjelang tiba. Kita teruskan semangat Sabah Tatapss..dan bersalaman antara sama lain disusuli ucapan "Selamat hari raya , Apa khabar kau .. ok ka ? " .

- Hidup Sabahan Blooger -