Wednesday, October 22, 2008

NANAS BANTU KEKAL BERAT BADAN IDEAL


Nanas ataupun nama saitifiknya comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan, tergolong dalam keluarga Bromeliaceae.

Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman, malah ia juga mempunyai nilai perubatan yang tersendiri.

Walaupun dikatakan nanas berasal dari Amerika Selatan, namun begitu nanas telah ditemui buat pertama kalinya oleh orang Eropah di Kepulauan Caribbean, apabila Columbus dan para penjelajah membawa nanas ke Eropah, percubaan telah dibuat untuk menanam nanas yang manis ini.

Hanya setelah menyedari bahawa nanas memerlukan cuaca tropika untuk hidup maka pada penghujung kurun ke-16, penjelajah Portugis dan Spanyol telah memperkenalkan nanas ke dalam koloni mereka di Asia, Afrika dan Pasifik Selatan. Di negara-negara ini juga nanas telah ditanam sehingga kini.

Buah nanas mempunyai nilai khasiat yang penting seperti vitamin, mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi.

Nanas merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas juga mengandungi lemak dan garam yang minima serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Sesungguhnya nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Perlindungan Terhadap Radikal Bebas

Salah satu enzim paling penting dalan nanas ialah bromelain dan dikatakan bahawa enzim itu merupakan kunci kepada kebanyakan kebaikan nanas untuk kesihatan.

Apa yang boleh dilakukan oleh bromelain terhadap kecantikan manusia ?

Bromelain didakwa berguna sebagai antikeradangan, berkesan dalam mengurangkan pembengkakan dan membantu dalam rawatan masalah kesihatan seperti sinusitis akut, sakit tekak, artritis dan gout.

Untuk keberkesanan yang lebih, nanas harus dimakan antara waktu makan tanpa mengambil makanan lain. Ini adalah kerana sifat lain bromelain ialah untuk membantu penghadaman. Jika dimakan bersama makanan lain, kebaikan bromelain akan diganggu untuk menghadamkan makanan lain.

Sebagai sumber vitamin C yang baik, nanas menawarkan kepada tubuh manusia satu perlindungan menentang radikal bebas, bahan yang menyerang sel-sel sihat.

Radikal bebas yang terbina boleh membawa kepada athrosclerosis dan penyakit jantung, diabetik, peningkatan dalam serangan asma dan peningkatan resiko pembentukan kanser seperti kanser kolon.

Vitamin C juga penting kerana ia mampu menjadi penentang demam salsema dan influenza sekali gus memberi fungsi yang sempurna pada sistem imun.

Mengekalkan Kesihatan Mata

Nanas juga merupakan sumber bagus mangan, sejenis mineral penting dalam beberapa enzim yang perlu untuk tubuh bagi penghasilan tenaga. Nanas juga mempunyai sejumlah tiamin atau vitamin B yang amat penting dalam enzim penghasilan tenaga.

Tahukah anda, buah nanas juga amat bagus diambil kerana buah ini mampu mengekalkan kesihatan mata yang baik serta membantu melindungi masalah mata berkaitan dengan peningkatan usia.

Tiga hidangan buah nanas yang kaya dengan antioksida ini juga mampu merendahkan resiko pembentukan masalah mata begini. Selain itu, buah nanas yang masak juga mengandungu ciri diuretik. Jus buah nanas juga mampu membunuh cacing dalam usus.

Bukan setakat buah, batang atau tangkai nanas juga dikatakan mempunyai khasiat yang tersembunyi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Australia, terdapat molekul berguna yang tersembunyi dalam batang nanas.

Molekul ini mampu bertindak sebagai pertahanan menentang beberapa jenis kanser seperti kanser ovari, payudara, paru-paru, kolon dan kulit.

Sesungguhnya terdapat pelbagai khasiat nanas, namun disebabkan buah ini begitu manis maka nanas tidak boleh diambil oleh mereka yang mengidap diabetik atau mempunyai tahap gula dalam darah yang rendah.

Apa yang pasti, sebelum mengambil nanas untuk tujuan perubatan, perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Sumber: Harian Ekspres


JIKA ANDA INGIN MEMBELI NANAS,
DATANGLAH KE KAMPUNG BANTING DAN KAMPUNG MARABA.

No comments: