Tuesday, October 14, 2008

TIADA GAJAH DI KAMPUNG SAYA

Dari dahulu hingga sekarang di kampung saya tiada gajah. Menurut ceritanya, suatu masa dahulu gajah dari Sandakan memang teringin sangat hendak berhijrah ke kapung saya tetapi membatalkannya. Sebenarnya bukan hanya setakat untuk berhijrah tetapi ingin menawan kawasan hutan rimba di sebelah timur kampung saya yang dikuasai oleh landak. Hutan belantara itu belum lagi tercemar pada ketika itu.

Dengar-dengar cerita dari orang kampung saya, sekarang kawasan hutan belantara itu sudah diambil oleh orang-orang tertentu. Ini cuma cerita di kedai kopi yang saya dengar dari orang sana dan tidak mempunyai sumber yang sahih. Kalau cerita itu betul, kasihan orang kampung nda hampit untuk mereka bercocok tanam. Maaf, cerita ini sudah tersasar sedikit.

Berbalik kepada cerita gajah. Sebelum bertolak dari Sandakan, gajah terlebih dahulu mengirimkan giginya kepada landak dengan tujuan supaya landak takut. Kalau landak takut maka sudah tentu landak akan beredar dengan sendirnya tanpa berlaku sebarang pergaduhan atau perperangan antara mereka. Giigi gajah jauh lebih besar berbanding dengan gigi landak dan ini menunjukkan gajah adalah binatang yang besar. Dengan bangganya gajah merasakan dirinya binatang yang paling besar di negeri Sabah dan tidak mampu dicabar oleh binatang lain.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan oleh orang yang punya cerita tentang bagaimana gigi gajah itu dikirimkan kepada landak dan binatang apa yang menghantarnya. Sudah tentu bukannya dihantar sendiri oleh gajah kerana gajah tidak berani datang ke kampung saya.

Landak pula tidak membalas kiriman gigi gajah itu dengan gigi landak, tetapi membalasnya dengan mengirimkan bulunya. Apabila gajah menerima bulu landak yang besar itu maka gajah pun terkejut kerana ia jauh lebih besar daripada bulu gajah. Melihat daripada bulunya, gajah beranggapan landak itu lebih besar daripada gajah. Begitulah ceritanya yang menyebabkan gajah tidak berani datang ke kampung saya.

No comments: