Wednesday, October 29, 2008

TANAMAN NANAS DI KAMPUNG BANTING

Mjoriti penduduk kampung Banting adalah petani yang mengusahakan tanaman nanas persendirian secara kecilan-kecilan. Pengetahuan mereka mengenai cara-cara menanam nanas adalah melalui pengalaman mereka sendiri dan bukannya melalui tunjuk ajar pakar-pakar profesional. Penanaman nanas di kampung tersebut dimulakan sejak sekian lama oleh beberapa generasi terdahulu untuk kegunaan persendirian.

Nanas mudah ditanam dan bibitnya senang diperolehi, iaitu boleh menggunakan bibit daripada anak nanas ataupun menggunakan jambulnya (panggilan dalam dialek Kadayan). Apa yang dipanggil jambul nanas oleh penduduk kampung tersebut ialah anak nanas yang tumbuh di bahagian atas buah nanas (seperti dalam gambar hiasan di atas). Nanas mudah tumbuh di kampung Banting tanpa memerlukan penjagaan yang rapi kerana jenis tanah di kampung tersebut adalah sesuai untuk tanaman nanas. Pernyataan ini bukanlah berdasarkan kajian secara saintifik tetapi adalah berdasarkan pemerhatian saya sendiri sebagai penduduk kampung tersebut.

Buah nanas yang terdedah kepada cahaya matahari dikatakan lebih manis daripada buah nanas yang terlindung. Bagaimanapun, kalau buah nanas itu terlalu terdedah kepada cahaya matahari yang panas, ada kemungkinan buah nanas itu menjadi rosak dan boleh menyebabkan pelanggan kurang berminat untuk membelinya kerana nanas itu menjadi kurang cantik. Ada yang mengatakan nanas memerlukan sedikit perlindungan pokok-pokok kecil tanpa menghalang sepenuhnya cahaya matahari supaya buah nanas itu kelihatan lebih berkualiti untuk pasaran.

Sunday, October 26, 2008

TAMU

Kalau kita menyebut perkataan "tamu", semua penduduk negeri Sabah faham dan dapat menggambarkan apa yang dikatakan sebagai "tamu" itu kerana istilah "tamu" telah diterima pakai secara meluas di negeri ini. Menurut Bahasa Melayu yang standard, perkataan "tamu" bermaksud orang yang datang mengunjungi orang lain seperti menghadiri jamuan dan sebagainya, tetapi dalam konteks ini "tamu" dimaksudkan sebagai pekan atau pasar sehari. Ada kemungkinan besar bahawa perkataan "tamu" itu berasal daripada perkataan "temu" (bertemu) yang bermaksud berjumpa kerana "tamu" merupakan satu pasar atau pekan sehari sebagai tempat perjumpaan di kalangan para peniaga dan para pembeli. Mungkin juga perkataan "temu" itu disebut "tamu" oleh sesetengan penduk negeri Sabah yang tinggal di sebelah Pantai Barat kerana dari segi sejarahnya "tamu" dikesan bermula di Pantai Barat negeri ini. Namun, pada hari ini "tamu" juga sudah diadakan di sebelah Pantai Timur.

Sebenarnya "tamu" sudah wujud sekian lama di negeri Sabah, iaitu sejak penduduk negeri ini masih lagi mengamalkan sistem "tukar barang" (barter trade). Nelayan yang membawa ikan, kerang, udang, ketam dan sebagainya boleh bertukar barangan dengan petani yang membawa beras, ubi, keladi, sayur dan sebagainya apabila mereka bertemu di "tamu" pada masa-masa tertentu. Hari ini pelanggan boleh membeli perbagai jenis barangan di "tamu" dengan mengunakan wang secara tunai dan tidak mustahil suatu masa nanti pelanggan akan menggunakan kad kredit.

Antara "tamu" yang mendapat sambutan baik ialah "tamu" di Gaya Street, Kota Kinabalu pada setiap hari Ahad. Selain di Gaya Street, banyak lagi "tamu" di tempat-tempat lain yang diadakan seminggu sekali seperti Tamu Putatan setiap Ahad, Tamu Papar setiap Ahad, Tamu Kota Belud setiap Ahad, Tamu Beaufort setiap Sabtu, Tamu Kudat setiap Rabu dan sebagainya. Tamu boleh menjadi tarikan pelancong dan boleh menjana pendapatan peniaga-peniaga kecil tempatan.

Pihak kerajaan menganjurkan "Tamu Besar" secara berkala. Baru-baru ini "Tamu Besar" telah diadakan di Kota Belud dan sambutannya amat menggalakkan. "Tamu Besar" dianjurkan oleh pihak kerajan sebagai salah satu usaha untuk menarik pelancung dari laur negara dan tempatan, di samping memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan menjual dan mempromosi produk mereka.

Salah satu tapak "tamu" zaman dahulu yang dapat dikesan ialah di Inobong, Penampang. Terdapat "Batu Sumpah" di kawasan tamu tersebut sebagai tempat pemimpin-pemimpin pelabagai suku kaum bersumpah untuk tidak melakukan sebarang pergaduhan semasa "tamu" diadakan. Ada yang mengatakan binatang disembelih di tempat itu dan darahnya dititiskan di atas "Batu Sumpah". Kawasan "tamu" adalah dianggap sebagai kawasan berkecuali (neutral ground) di mana tiada sesiapapun dibenarkan bergaduh. Sesiapa yang bergaduh di kawasan tamu akan dimakan sumpah. Bersumpah adalah cara yang paling mudah dan amat sesuai untuk mengawal orang ramai daripada bergaduh pada zaman itu kerana polis tidak mencukupi (tidak ada langsung) untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam. Mereka percaya bahawa sesiapa yang melanggar sumpah akan mendapat malapetaka. "Tamu" pada hari ini tidak lagi memerlukan "Batu Sumpah" kerana kerajan mempunyai anggota polis yang mencukupi untuk mengawal keselamatan semasa "tamu".
.
Pada zaman dahulu mereka tidak mempunyai kalender. Mereka menggunakan tali bersimpul yang diperbuat daripada kulit kayu timbagan untuk mengetahui bila "tamu" berikutnya akan diadakan. Jika "tamu" itu diadakan seminggu sekali maka mereka menyimpul tali itu tujuh kali (tujuh simpulan). Mereka menggantung tali yang bersimpul itu di muka pintu rumah dan memotong satu simpulan pada setiap hari. Melihat daripada baki simpulan tali itu, mereka dapat mengetahui bila mereka perlu bertolak dari rumah untuk pergi ke "tamu". Contohnya, jika perjalanan ke "tamu" memakan masa dua hari, mereka perlu bertolak apabila memotong simpulan yang kelima supaya mereka boleh sampai ke "tamu" selewat-lewatnya pada malam sebelum "tamu".

Saturday, October 25, 2008

Friday, October 24, 2008

CERITA PANGAIT (PENGAIT)

Semasa zaman kanak-kanak saya dahulu, orang kampung saya selalu bercerita tentang pangait atau pengait (headhunter). Pangait dikatakan adalah orang yang disuruh oleh pihak tertentu untuk memotong kepala manusia sebagai kalambigi. Perkataan kalambigi adalah perkataan dalam dialek Kadayan yang saya sendiri tidak tahu maknanya secara tepat dalam bahasa Melayu. Apa yang saya difahamkan berdasarkan cerita orang-orang tua terdahulu, kalambigi itu dikaitkan dengan kepala manusia yang ditanam di bawah tiang jambatan semasa pembinaannya supaya jambatan itu kukuh dan tidak runtuh. Setiap bangunan yang besar dikatakan memerlukan kalambigi. Ini cuma cerita orang-orang tua pada zaman kanak-kanak saya deahulu. Cerita seperti ini tidak timbul lagi pada zaman sekarang.
.
Pangait bukannya ada pada sepanjang masa, ia cuma ada pada musim-musim tertentu sahaja. Kanak-kanak dilarang bermain jauh-jauh pada musim pangait, terutamanya pada waktu malam. Saya pernah terdengan orang mengatakan bahawa pangait lebih menakutkan daripada hantu.
.
Walaupun pangait dikatakan sentiasa mengintai di mana-mana dan bersebunyi di hutan rimba berdekatan dengan kampung tetapi tidak pernah terdengar ada orang kampung yang dipenggal kepala oleh pangait. Hutan rimba yang dikatakan sebagai tempat pangait bersembunyi dan mengintai itu sudah tidak ada lagi pada masa ini. Hutan itu sudah di tebas dan dibersihkan untuk tanaman nanas. Sebahagian daripada buah nanas manis yang dijual di gerai di tepi jalan Beaufort-Sipitang itu sebenarnya adalah hasil tanaman penduduk kampung Banting di atas tanah yang pada zaman dahulu dikatakan tempat pangait bersembunyi.

Thursday, October 23, 2008

NANAS BANTING MANIS

Ramai orang yang saya temui mengatakan "Nanas Banting Manis". Saya percaya nanas yang ditanam di kampung Banting memang benar-benar manis kerana yang mengatakan nanas itu manis bukannya orang kampung Banting sendiri tetapi orang yang datang dari tempat lain. Mereka mengakui kemanisannya kerana mereka sendiri pernah makan nanas hasil tanaman penduduk kampung tersebut. Nanas yang manis kulitnya kelihatan cerah dan berwarna kekuning-kuningan seperti dalam gambar hiasan ini.

Bagi anda yang belum pernah makan nanas kampung Banting, bolehlah datang atau singgah di kampung itu pada bila-bila masa (waktu siang) untuk membeli nanas. Kalau anda melalui jalan Beaufort-Sipitang, anda boleh singgah di gerai di tepi jalan berhampiran dengan persimpangan jalan masuk ke kampung tersebut yang bertulis "Jalan Banting Nenas".

Sebenarnya nanas telah diakui mempunyai khasiat yang banyak. Nanas mengandungi vitamin C, B2, B3, B5, dan B6. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minima serta tidak mempunyai kolesterol. Buah nanas boleh dimakan dengan pelbagai cara. Buah nanas boleh dimakan terus begitu saja tanpa dimasak, dan boleh dijadikan acar, jem, sayur atau dicampur dalam pelbagai jenis masakan dan sebagainya. Buah nanas muda dan umbut nanas sedap digulai. Percayalah, nanas adalah buah yang sedap dimakan, berkhasiat dan menyihatkan.
.
Nanas mempunyai lebih kurang 2,000 spesis di seluruh dunia tetapi yang ditanam di kampung Banting cuma ada dua atau tiga spesis sahaja. Hanya terdapat dua jenis nanas yang banyak ditanam dikampung Banting, iaitu nanas yang mereka panggil "nanas paun" dan "nanas gula batu". Mereka tidak tahu nama saintifiknya. Selain itu, terdapat lagi satu jenis nanas yang mereka panggil "nanas selasih" tetapi nama nanas tersebut semakin kurang popular pada hari ini.
.
Dalam bahasa saintifiknya, nanasa dipanggil ananas comosus. Mungkin itulah sebabnya dipanggil nanas oleh orang di sebelah sini. Dalam bahasa Inggeris, nanas dipanggil pineapple (pinappel in Middle English). Nanas dipanggil pineapple kerana ia menyerupai pine cone. Nanas dipanggil pina oleh orang yang bercakap bahasa Spanish, abacaxi dalam bahasa Portugis, ananas kata orang Belanda dan Perancis, po-la-mah bagi orang di negeri China, sweet pine bagi orang Jamaica dan pine bagi orang Guatamala.
.
Bukan tujuan saya untuk mempromosikan nanas kampung Banting kerana saya orang kampung Banting. Saya cuma memberi peluang kepada anda untuk sama-sama merasakan kemanisan nanas yang di tanam di kampung tersebut. Cubalah beli sedikit dahulu dan nanti kalau anda rasa benar-benar manis barulah membeli lebih banyak.

Wednesday, October 22, 2008

NANAS BANTU KEKAL BERAT BADAN IDEAL


Nanas ataupun nama saitifiknya comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan, tergolong dalam keluarga Bromeliaceae.

Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman, malah ia juga mempunyai nilai perubatan yang tersendiri.

Walaupun dikatakan nanas berasal dari Amerika Selatan, namun begitu nanas telah ditemui buat pertama kalinya oleh orang Eropah di Kepulauan Caribbean, apabila Columbus dan para penjelajah membawa nanas ke Eropah, percubaan telah dibuat untuk menanam nanas yang manis ini.

Hanya setelah menyedari bahawa nanas memerlukan cuaca tropika untuk hidup maka pada penghujung kurun ke-16, penjelajah Portugis dan Spanyol telah memperkenalkan nanas ke dalam koloni mereka di Asia, Afrika dan Pasifik Selatan. Di negara-negara ini juga nanas telah ditanam sehingga kini.

Buah nanas mempunyai nilai khasiat yang penting seperti vitamin, mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi.

Nanas merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas juga mengandungi lemak dan garam yang minima serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Sesungguhnya nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Perlindungan Terhadap Radikal Bebas

Salah satu enzim paling penting dalan nanas ialah bromelain dan dikatakan bahawa enzim itu merupakan kunci kepada kebanyakan kebaikan nanas untuk kesihatan.

Apa yang boleh dilakukan oleh bromelain terhadap kecantikan manusia ?

Bromelain didakwa berguna sebagai antikeradangan, berkesan dalam mengurangkan pembengkakan dan membantu dalam rawatan masalah kesihatan seperti sinusitis akut, sakit tekak, artritis dan gout.

Untuk keberkesanan yang lebih, nanas harus dimakan antara waktu makan tanpa mengambil makanan lain. Ini adalah kerana sifat lain bromelain ialah untuk membantu penghadaman. Jika dimakan bersama makanan lain, kebaikan bromelain akan diganggu untuk menghadamkan makanan lain.

Sebagai sumber vitamin C yang baik, nanas menawarkan kepada tubuh manusia satu perlindungan menentang radikal bebas, bahan yang menyerang sel-sel sihat.

Radikal bebas yang terbina boleh membawa kepada athrosclerosis dan penyakit jantung, diabetik, peningkatan dalam serangan asma dan peningkatan resiko pembentukan kanser seperti kanser kolon.

Vitamin C juga penting kerana ia mampu menjadi penentang demam salsema dan influenza sekali gus memberi fungsi yang sempurna pada sistem imun.

Mengekalkan Kesihatan Mata

Nanas juga merupakan sumber bagus mangan, sejenis mineral penting dalam beberapa enzim yang perlu untuk tubuh bagi penghasilan tenaga. Nanas juga mempunyai sejumlah tiamin atau vitamin B yang amat penting dalam enzim penghasilan tenaga.

Tahukah anda, buah nanas juga amat bagus diambil kerana buah ini mampu mengekalkan kesihatan mata yang baik serta membantu melindungi masalah mata berkaitan dengan peningkatan usia.

Tiga hidangan buah nanas yang kaya dengan antioksida ini juga mampu merendahkan resiko pembentukan masalah mata begini. Selain itu, buah nanas yang masak juga mengandungu ciri diuretik. Jus buah nanas juga mampu membunuh cacing dalam usus.

Bukan setakat buah, batang atau tangkai nanas juga dikatakan mempunyai khasiat yang tersembunyi.

Menurut kajian yang dilakukan oleh penyelidik di Australia, terdapat molekul berguna yang tersembunyi dalam batang nanas.

Molekul ini mampu bertindak sebagai pertahanan menentang beberapa jenis kanser seperti kanser ovari, payudara, paru-paru, kolon dan kulit.

Sesungguhnya terdapat pelbagai khasiat nanas, namun disebabkan buah ini begitu manis maka nanas tidak boleh diambil oleh mereka yang mengidap diabetik atau mempunyai tahap gula dalam darah yang rendah.

Apa yang pasti, sebelum mengambil nanas untuk tujuan perubatan, perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Sumber: Harian Ekspres


JIKA ANDA INGIN MEMBELI NANAS,
DATANGLAH KE KAMPUNG BANTING DAN KAMPUNG MARABA.

Tuesday, October 21, 2008

JURANG PEMBANGUNAN ANTARA BANDAR DAN KAMPUNG SEMAKIN LUAS

Secara keseluruhannya, semua rakyat di negara ini mendapat manfaat yang amat besar daripada kemerdekaan negara. Kita patut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah membebaskan kita daripada belenggu penjajahan. Kita juga patut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin kita yang ada pada hari ini kerana menyambung perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam usaha untuk mengisi kemerdekaan negara.

Pembangunan negara kita semakin pesat, hutan rimba bertukar menjadi kampung, kampung bertukar menjadi pekan, pekan bertukar menjadi bandar dan bandar bertukar menjadi badaraya Bangunan-bangunan mencakar langit tumbuh seperti cendawan di pusat-pusat bandar. Bukit diratakan dan laut ditimbus untuk membolehkan bangunan-bangunan baru didirikan. Inilah yang dikatakan pembangunan semakin pesat di negara kita. Sesetengah kampung yang dahulunya jauh ketinggalan, kini sudah diberikan pelbagai kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air, telefon dan sebagainya.

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa pembangunan di bandar berkembang jauh lebih cepat berbanding dengan pembangunan di kampung. Apabila pembangunan di bandar lebih cepat daripada pembangunan di kampung maka akhirnya jurang antara kampung dan bandar semakin sehari semakin luas. Sebagaimana yang saya perhatikan, jalan raya di Kota Kinabalu telah di turap berulang kali tetapi jalan raya yang menuju masuk ke kampung saya, iaitu Kampung Banting, Beaufort hingga hari ini belum lagi berturap. Rasanya banyak lagi kampung lain yang mempunyai nasib yang sama seperti kampung saya. Saya melihat perkara seperti ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab supaya ia tidak dijadikan isu politik suatu masa nanti. Ada kemungkinan perkara seperti ini terlepas pandang oleh pihak-pihak tertentu kerana ada tempat lain yang lebih penting untuk diambil perhatian.

Sebenarnya penduduk kampung saya mengharapkan jalan hanya lebih kurang dua kilometa\er itu dapat di turap. Kadang-kadang terdengar juga suara-suara penduduk kampung yang mengatakan, "dahulu uja dangan kan kana taa sudah jalan ni tapi pewuntukannya kana alih ka tampat lain,". Ini cuma sembang-sembang kosong di antara mereka yang mereka pun kurang pasti sejauh mana kebenarannya.

Walaupun penduduk kampung saya merasa sedikit terpinggir daripada arus pembangunan tetapi mereka sentiasa sabar menunggu. Mereka berkeyakinan tinggi bahawa suatu masa nanti jalan menuju masuk ke kampung Banting itu akan diturap juga akhirnya. Cepat atau lambat pelaksanaannya adalah terserah kepada kebijaksanaan pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tahu penduduk kampung saya adalah orang yang sabar kerana "budaya sabar" itu adalah budaya yang mereka warisi daripada generasi terdahulu. Rata-rata mereka adalah penyokong setia kerajaan sejak Sabah merdeka melalui Malaysia pada tahun 1963.