Thursday, December 4, 2008

JANGAN BIARKAN POKOK SPESIES BARU TUMBUH SUBUR

Saya teringat tentang pokok yang subur dan rimbun tumbuh di tepi sumgai, yang banyak memberi manfaat kepada penghuni alam ini. Para petani dan nelayan berteduh di bawahnya untuk mengelak dari kepanasan matahari yang terik sambil menikmati tiupan angin sepui-sepui bahasa dan mendengar siulan merdu burung-burung yang berkicauan hinggap di atas dahan dan ranting yang tersusun rapi.
.
Pokok yang subur menghasilkan buah sebagai sumber makanan bagi burung-burung yang hinggap di atasnya. Buah-buah yang jatuh ke tanah menjadi sumber pelbagai jenis binatang yang hidup di daratan. Buah yang jatuh ke sungai pula menjadi makanan ikan yang berenang menyusuri air sungai yang jenih.
.
Jika pokok itu tidak dipelihara dengan baik, mungkin daun-daunnya akan berguguran, dahan dan rantingnya akan menjadi patah. Lebih malang lagi jika batangnya menjadi reput dan akar tunjangnya pula tercabut. Kalau keadaan sedemikian berlaku, mungkin para petani, nelayan, burung, ikan dan sebagainya yang dahulunya riang gembira akan menjadi resah gelisah kerana kehilangan tempat berteduh dan berlindung.
.
Jangan bimbang, "patah tumbuh hilang berganti." Jika pokok yang baru tumbuh itu adalah bibit daripada pokok yang terdahulu, pastinya para petani dan nelayan serta segala mahluk yang lainnya merasa gembira dan bersyukur. Apabila pokok itu menjadi subur nanti, ia akan melindungi segala yang pernah berlindung di bawah pokok yang hidup subur di tempat yang sama pada masa yang lampau. Semua petani, nelayan, burung, ikan dan binatang di daratan yang dahulunya merasa kecewa datang berduyun-duyun kembali untuk berteduh di bawah pokok yang subur dan rimbun itu.
.
Keadaan mungkin berlainan kalau pokok yang lama itu tidak ada bibitnya dan pokok dari spesies lain pula yang tumbuh. Apakah pokok spesies lain itu akan dicincang lumat-lumat oleh para petani, nelayan, burung, ikan dan pelbagai jenis binatang sebelum ia sempat membesar.

2 comments:

Padamar Seri said...

Pokok mampu menjadi gambaran dan sumber ilham.

Artikel ini dalam maksudnya.

Masalahnya, hari ini bukan pasal pokok tapi sudah ramai 'orang luar' berebut-rebut untuk menuai buahnya meskipun bukan mereka yang punya. Tidak sabar. Gelojoh.
Sedangkan dahulunya, para petani sabar menunggu sehingga buah-buah itu masak ranum dan jatuh ke bumi barulah ia dinikmati.

Tapi kali ini, 'orang luar' ini telah menggunakan segala cara untuk menuai hasilnya, sehinggakan ada yang telah memanjat dan memotong dahannya supaya dapat mengambil hasilnya. Walhal buahnya masih belum ranum. 'Orang luar' ini mempunyai segala cara dan 'alat' untuk mengambil buah tersebut. Bila ramai yang bertindak begini, tentunya pokok yang berjasa itu tidak rendang lagi akibat dahannya telah dipotong dengan rakus.

Bila musim sepatutnya Si petani, si nelayan dan si miskin yang dulunya menikmati hasil buahnya, tiada satu pun buah jatuh ke tanah sebab telah dituai oleh 'orang luar'. Sehinggakan kadang-kadang hanya tinggal kulit buah saja bertaburan di sana-sini.

Mereka masih bersabar, walaupun dengan harapan musim depan mereka boleh menikmati buah semula. Walaupun ramai sedar bahawa buah itu tidak akan sebanyak dulu sebab telah banyak dahan yang dicantas oleh 'orang luar' yang rakus.

Pokok yang dulunya rendang, kini tidak serendang dulu. Lagi menyakitkan, walaupun musim depan lama lagi akan tiba, sudah ramai 'orang luar' berkira-kira untuk merebut hasilnya.Lebih ramai dan lebih canggih 'alat' untuk menuainya tanpa sedikitpun perasaan kesian melihat si miskin juga ingin sangat menikmatinya seperti dulu.

"Aku mesti menuai hasilnya walaubagaimanapun caranya, aku mesti menutup kos 'alat' yang telah ku beli ini. Siapa mau rugi.' bisik hati 'orang luar' ini.

Keadaan ini membuat si miskin yang dulunya sentiasa sabar kini seakan-akan telah hampir berputus harap.

Tidak jauh dari pokok yang berjasa ini, ada sebatang pokok yang setengah muda, belum berbuah tapi kelihatan agak subur. Masih belum ramai 'orang luar' mengganggunya. Sebahagian orang kampung telah mula berharap moga-moga pokok 'muda' ini dapat memberikan mereka buah. Apatah lagi telah ramai antara mereka mengisi bual bicara bahawa pokok ini akan lebih rendang dan buah lebih enak dan berkhasiat. Harapan semakin meninggi dibenak orang kampung. Menunggu.. terus menunggu..

Pokok baru ini mula berbungga, ada yang mengatakan musimnya akan tiba pada 16 september...

Masa berlalu ...september pun pergi... 'tidak apa ...kata dari salah seorang dari mereka. sikit masa lagi masak lah ia.'

Mereka yang nekad bertaduh dipokok baru ini mula gundah ... bunga yang bertukar jadi buah kenampakan tidak seberapa. Pun begitu telah ada ura-ura tentang berita sesepoi bahasa bahawa penjaga bagi pokok 'muda' ini akan membawa 'orang luar' sebelah sana untuk menuai bersama-sama. Orang kampung sudah ada yang gelisah. Jenis bagaimanakah 'orang luar' ini, serakus dulukah atau mereka ini juga golongan kecewa seperti mereka. Tidak pasti. Berterusan tidak pasti. Resah gelisah.

... itulah sedikit sambungan kisah sepohon pokok yang dulunya rendang dan sepohon pokok 'muda' yang baru mula belajar berbuah.

Kesimpulannya ialah, orang kampunglah mangsa sebenar. Dihamburkan harapan yang tidak pasti.

bagi aku seorang penulis yang kurang ilmu. Musuh sebenar kita ialah watak 'orang luar' dalam cerita ini, kerana merekalah sebenarnya pembawa masalah sebab 'orang luar' itu ialah 'Sang Perasuah. Titik. Abis.

BLOG KOMEN said...

Jangan bimbang, petani dan nelayan yang dahulunya menikmati buah pokok itu pasti tidak akan membiarkan pokok itu mati begitu sahaja.

Cuma sedihnya ada orang yang tidak bertanggungjawan cuba untuk mencantas dahan dan ranting pokok yang berjasa itu.