Monday, August 17, 2009

Monday, July 6, 2009

JALAN KE RUMAH ORANG PERSEORANGAN DITURAP, JALAN KEGUNAAN AWAM TERABAI

Sebahagian daripada penduduk kampung Maraba (sebelah kampung Banting) tentunya merasa bertuah kerana jalan raya ke rumah masing-masing telah diturap atas peruntukan kerajaan. Bagaiamanapun, projek penurapan jalan ke rumah orang perseorang itu cuma melibatkan beberapa buah rumah yang terletak di tepi jalan raya Beaufort-Sipitang sahaja . Bagi mereka yang mendirikan rumah agak jauh sedikit dari jalan raya utama tidak dapat menikmati kemudahan tersebut. Maksud saya, projek penurapan jalan itu tidak menyeluruh.
.
Di samping merasa berbangga, saya juga merasa sedikit terkilan kerana jalan raya untuk kegunaan umum ke kampung Banting, yang hanya terletak di sebelah kampung Maraba, tidak pernah diambil perhatian untuk diturap. Bukan itu saja, malah jalan raya untuk kegunaan umum di kampung Maraba itu sendiripun tidak diturap. Sepatutnya pemimpin harus mengutamakan kepentingan umum berbanding dengan kepentingan orang perseorangan. Pada pandangan saya, pemimpin seharusnya menentukan keutamaan berdasarkan kepentingan umum dan bukannya berdasarkan kepentingan orang perseorangan.

Monday, June 22, 2009

HARAP-HARAP JALAN RAYA KAMPUNG BANTING DAPAT DITURAP SEBELUM PILIHAN RAYA AKAN DATANG

Sebagai seorang penduduk kampung Banting, Beaufort, saya amat terasa bahawa kampung Banting bukanlah sebuah kampung yang diberi keutamaan oleh wakil rakyat untuk dibangunkan. Mungkin ini adalah kerana penduduk kampung kami tidak ramai berbanding dengan kampung-kampung lain. Walaupun tidak ramai tetapi penduduk kampung kami sebenarnya adalah penyokong yang turut memberi kemenangan kepada pihak kerajaan dalam pilihan-pilihan raya yang lalu. Apa yang kami harapkan ialah perhatian yang wajar daripada wakil rakyaat kepada kampung kami supaya jalan raya ke kampung kami dapat diturap atau diaspal.
.
Wakil rakyat sudah bersilih ganti, namun hingga sekaranmg jalan raya ke kampung Banting belum juga diturap. Kami berharap wakil rakyat kami yang ada sekarang ini akan sentiasa mengambil perhatian yang terhadap masalah yang kami hadapi.
.
Saya percaya wakil rakyat di kawasan kami akan menyampaikan masalah tersebut kepada pihak atasan. Penduduk kampung telahpun sebenarnya telahpun menyuarakan perkara tersebut kepada wakil rakyat . Saya yakin pihak kerajan akan dapat menurap jalan raya ke kampung saya sebelum pilihan raya akan datang. Apa kata pemimpin yang paling atas, "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Monday, April 6, 2009

PIKAT PUNAI GUNA RUMAH 'BUMBUN'

Oleh Jinius Pandakin
.
SIPITANG: Biasanya kita hanya mendengar burung ditangkap menggunakan jerat, guna getah kayu atau pukat burung. Namun Suku Kedayan di Sipitang mempunyai cara tersendiri dan unik untuk menangkap burung, terutamanya burung punai tanah.
.
Burung punai tanah seakan-akan seperti burung merpati tetapi saiznya agak kecil.
.
Selain kepakaran memikat burung, suku Kedayan juga terkenal dengan tarian Anding dan permainan muzik kayu Sadaman. Kaum Kedayan kebanyakannya tinggal di daerah Sipitang. Selain Sipitang masyarakat ini juga tinggal di Beaufort, Labuan, Merapok dan Lawas di Sarawak.
.
Cara menangkap burung oleh orang Kedayan disebut dalam dialek mereka sendiri 'melagau'bermaksud 'memanggil'.
.
Seorang penangkap burung, Shunie Adi, 50, berkatauntuk 'melagau' burung dia perlu membina sebuah rumah kecil yang dinamakan 'bumbun'.
.
Berasal dari kampung Sungai Bubus, kira-kira 6.5 km dari bandar Sipitang, Shunie berkata, 'bumbun' itu dibuat seperti rumah 'Red Indian' zaman 'koboi' di Amerika.
.
"Bumbun ini diperbuat daripada anak-anak kayu sebanyak tujuh batang yang lurus dan ditutup dengan daun-daun. Bumbun ini boleh menempatkan satu atau dua orang di dalam dan jika dilihat dari luar, burung yang di 'lagau' (dipanggil) tidak akan sedar ada sesiapa di dalam 'bumbun' itu.
.
Di depan, lubang kecil 'bumbun' ini dibuat satu tapak seperti padang kecil tempat burung-burung punai hinggap. Tapakmini jaraknya tujuh tapak kaki dari 'bumbun' dan tujuh tapak kaki lebar orang dewasa yang dibersihkan. Semasa memanggil burung, tapah ini ditabur makanan seperti padi atau jagung.
.
Satu alat khas yang dipanggil 'dukut' diperbuat daripada bambu nipis yang ukur lilit bulatannya 4 sm dan 98 sm panjang dan hujungnya disambung dengan buluh nipis berbentuk seperti alat muzik.
.
Alat ini ditiup dari dalam bumbun yang mengeluarkan bunyi seperti burung punai tanah iaitu 'poo'. Ia ditiup tujuh kali berselang seli. Bunyi dukut itu akan menjadi tarikan burung yang ada di sekitarnya.
.
Kata Shunie, burung yang datang di tapak rumah 'bumbun' itu, semasa memakan umpan yang ditabur akan menjadi leka.
.
"Sebelum 'melagau' dilakukan, terlebih dahulu 'mantera' dibaca dan beberapa petua dilakukan sebanyak tujuh kali, mengambil tujuh helai daun kayu yang tumbuh dari arah depan bumbun bertujuan memanggil semangat burung itu dan tapak di mana burung itu turun juga ditanam 'benda' yang boleh menarik perhatian burung suoaya datang ke tempat tersebut.
.
"Beberapa 'gerakan' seperti memusing-musing dukut sebanyak tujuh kali akan dilakukan oleh si pemanggil di depan bumbun sebelum memulakan kerja melagau", katanya.
.
Shunie turut 'menurunkan' sedikit penulis dan mendedahkan 'benda' yang dikuburkan. Tetapi ia dirahsiakan.
.
Jika silap melagau kata Shunie, lain yang akan datang. 'Orang halus' yang menyerupai binatang atau perempuan yang akan datang.
.
Menurutnya, jika ada sekumpulan lalat besar berwarna hijau, maka ini bermakna ada sesuatu yang cuba menganggu. Tetapi biasanya kejadian seperti ini jarang berlaku.
.
Dalam pada itu, burung-burung yang mendengar bunyi dukut itu akan turun betul-betul di tapak yang disediakan dan akan menjadi jinak seperti 'dipukau'.
.
Burung itu juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Namun cara ini akan menakutkan burung yang lain.
.
Semasa burung leka makan makanan yang ditabur, pada masa itulah sipenangkap mengikatdi bahagian leher burung menggunakan tali penarik yang dipanggil 'jahil'. Satu persatu burung itu dikait dan ditarik secara perlahan-lahan masuk ke dalam 'bumbun'.
.
Anehnya, burung yang dikait tidak akan melawan dan tanpa disedari oleh burung-burung yang diperangkap di sana.
.
"Burung yang dijahil itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam kurungan khas," kata Shunie menambah kekuatan mantera boleh menarik perhatian binatang lain seperti pelanduk, kijang atau payau.
.
"Ayah saya pernah menangkap seekor kijang menjerat kaki kijang menggunakan tali dari akar kayu yang teguh. jika ada banyak burung, biasanya sipenangkap akan mendapat di antara 14 ekor dan 70 ekor sehari.
.
"Burung ini dijual dengan harga RM3.50 seekor dan laris di Sipitang," katanya.
.
Menuruutnya, bulan Jun dan Julai adalah musim burung punai kerana pada bulan inilah ada banyak buah kayu digemari burung ini.
.
Summber: Harian Ekspres, 7 April 2009
.
NOTA:
.
Pada zaman kanak-kanak saya dahulu, saya sendiri pernah turut melagau punai (kami panggil punai tanah) dengan menggunakan dukut seperti yang diceritakan oleh Encik Shunie dalam artikel di atas. Saya sendiri juga pernah membuat bumbun tetapi tidak begitu menjadi kerana terlalu banyak pantang larangnya.
.
Alangkah menakutkannya kalau tiba-tiba ular masuk ke dalam bumbun apabila kita sedang berada di dalamnya atau kita sedang melagau. Amat menyakitkan sekali kalau bumbun kita dipenuhi oleh "semut api" (dipanggil halimbada dalam dialek Kadayan) ketika kita memasukinya pada waktu pagi. Begitulah pengalaman yang pernah saya lalui semasa melagau pada zaman kanak-kanak saya dahulu.

Wednesday, February 18, 2009

BENARKAH KADAYAN (KEDAYAN) TERMASUK DALAM KUMPULAN ETNIK KADAZAN ?

Dalam akhbar Harian Ekspres, bertarikh 15 Februari 2009, saya terbaca artikel yang mengatakan bahawa etnik Kadayan (Kedayan) adalah dalam kumpulan etnik Kadazan. Petikan artikel tersebut adalah seperti berikut:
.
"The Kadazans ethnic group comprises of Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kedayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Ngabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinoropu, Sonsogon, Sukang, Sungai, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon, and Tutung (Source: KDCA)."
.
Sebagai orang Kadayan, sebenarnya saya sendiri tidak sedar bahawa Kadayan adalah termasuk dalam kumpulan etnik Kadazan kerana Kadayan dan Kadazan tidak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya. Budaya Kadayan sebenarnya lebih mirip kepada budaya Brunei berbanding dengan budaya Kadazan. Dialek Kadayan mempunyai banyak persamaan dengan dialek Brunei berbanding dengan dialek Kadazan. Kadayan dan Kadazan juga mempunyai banyak perbezaan dari adat resam.
.
Saya ingin mendapat pandangan berdasarkan bukti-bukti kukuh untuk mengesahkan bahawa Kadayan termasuk dalam kumpulan etnik Kadazan.

Wednesday, January 28, 2009

PERTIKAIAN ANTARA PRESIDEN PBS DAN PRESIDEN PBRS SEMAKIN REDA

Terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri, kerana campur tangan untuk meredakan perang mulut antara Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Tan Sri Joseph Kurup, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengenai pemilihan calon jika berlaku pilihan raya kecil Kawasan Parlimen Pensiangan nanti. Ketua Menteri mahu semua orang bersatu padu dan menerima sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan diadakan.
.
Semua ahli komponen BN memang sepatutnya bersatu padu dan menyokong sesiapa sahaja yang menjadi calon jika ingin menang dalam pilihan raya. Sekiranya pilihan raya kecil Pensiangan diadakan, pemimpin-pemimpin komponen BN harus sama-sama berganding bahu untuk memastikan calon BN meraih kemenangan dan tidak kecundang seperti pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini.
.
Kemenangan BN dalam pilihan raya bukanlah semata-mata untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu atau untuk kepentingan BN sahaja, tetapi untuk rakyat keseluruhannya. Pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu mengambil perhatian terhadap masalah rakyat yang memilih mereka. Kalau mereka mengabaikan kepentingan rakyat, mungkin suatu masa nanti rakyat tidak akan memilih mereka lagi.
.
Penduduk Pensiangan pasti akan senang hati kalau calon pilihan raya kecil Pensiangan itu nanti orang yang mereka sukai. Lebih-lebih lagi kalau orang itu benar-benar bertanggungjawab untuk membela nasib mereka selepas menang dalam pilihan raya. Jangan pula selepas menang nanti bayang-bayang pun tak nampak.

Thursday, January 22, 2009

HENTIKANLAH PERTIKAIAN TENTANG PEMILIHAN CALON PILIHAN RAYA KECIL PENSIANGAN

Pertikaian antara Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan tentang pemilihan calon, jika berlaku pilihan raya kecil Pensiangan nanti, nampaknya semakin menjadi-jadi. Pertikaian seperti ini bukan banyak kebaikan dan faedahnya kerana ia boleh mendedahkan kepada umum tentang pelbagai kelemahan masing-masing semasa menjadi wakil rakyat di kawasan itu pada masa lampau.
.
Pembangkang mungkin tersenyum mendengar pertikaian kedua-dua pemimpin veteran komponen Barisan Nasional (BN) itu dan mungkin mereka ingin terus mendengar pertikaian selanjutnya untuk mereka jadikan bahan dalam kempen pilihan raya kecil Pensiangan nanti.
.
Kalau boleh, hentikanlah pertikaian seperti ini. Berbincanglah baik-baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dan tidak perlulah dihebahkan sangat dalam akhbar.
..
Untuk memilih calon nanti serahkan sajalah kepada pemimpin atasan BN. Tetapi pemimpin atasan perlu juga mengambil kira pandangan dari akar umbi kerana orang yang akan menentukan kemenangan BN nanti ialah pengundi di kawasan itu bukannya pemimpin atasan.

Monday, January 19, 2009