Friday, November 14, 2008

PROGRAM "WALK FOR HEALTH" SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA 2008

Majlis Penasihat Wanita Sabah dengan kerjasama Dewan Bandararaya Kota Kinabalu dan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah melalui urus setia program Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah akan menganjurkan Program Walk For Health pada 22 November 2008, bermula jam 7.00 pagi hingga 10.00 pagi di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
.
Program Walk For Health adalah merupakan salah satu program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Wanita Negeri Sabah 2008. Sesiapa yang ingin menyertai progam tersebut boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (No. Tel. 088-236110, 088-236251).

Thursday, November 13, 2008

PROGRAM KELUARGA PENYAYANG DI SANDAKAN

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Sandakan akan mengadakan Program Keluarga Penyayang pada 15 November 2008, jam 12.00 tengahari, bertempat di Dewan Chi Hwa, Sandakan. Program tersebut akan dirasmikan oleh Datuk Seri Panglima Ampung KK Hajo Puyun, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG) Parlimen Sandakan.
.
Seramai 200 orang yang terdiri daripada ibu bapa, penjaga, remaja, ahli keluarga dan masyarakat setempat dijangka akan menyertai program tersebut. Antara objektif program itu adalah untuk memberi pendidikan dan kemahiran kepada peserta mengenai gaya hidup sihat tanpa dadah dan meningkatkan ilmu keibubapaan yang positif untuk diamalkan dalam institusi keluarga.

BENDERA LUSUH SEPARUH TIANG

Semasa saya berjalan-jalan di Kampung Air, Kota Kinabalu pagi tadi, saya nampak Jalur Gemilang (Bendera Malaysia) dan Bendera Negeri Sabah yang sudah lusuh dinaikkan separuh tiang di tingkat satu sebuah bangunan rumah kedai. Di rumah kedai yang berhampiran dalam deretan yang sama terdapat lagi satu bendera yang lebih lusuh tetapi ia tidaklah tergantung separuh tiang. Sepatutnya kalau bendera itu sudah lusuh, gantikanlah dengan bendera yang baru. Jenguk-jenguklah bendera yang anda naikkan di hadapan premis perniagaan atau tempat tinggal anda dan jangan biarkan ia terlalu lusush atau tergantung separuh tiang seperti dalam gambar ini. Bendera perlu dihormati sebagai tanda taat setia kita kepada bangsa dan negara. Bendera harus dilihat sebagai lambang kedaulatan negara kita yang tercinta.

Wednesday, November 12, 2008

ANYAMAN BULUH KRAFTANGAN MURUT NABAWAN

Semasa berada di Nabawan, saya sempat melawat Kampung Enam yang hanya terletak lebih kurang enam kilometer dari Pekan Nabawan. Penduduk kampung tersebut mempunyai kebolehan dan kepakaran membuat kraftangan suku kaum Murut yang berupa anyaman buluh. Salah seorang daripada penduduk kampung tersebut, Encik Siat Yunau, pernah mendapat tempat johan dalam Pertandingan Hasil-Hasil Pertanian bagi Kategori Anyaman Buluh semasa Hari Peladang, Penternak dan Nalayan Peringkat Kebangsaan 2007 yang diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 27 Ogos hingga 2 September, 2007. Sebenarnya saya tidak berjumpa beliau, saya cuma nampak sijil penyertaan yang terpamer di tempat itu.

Saya melihat Daerah Nabawan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Contohnya, penduduk kampung ini mempunyai kebolehan membuat pelbagai jenis kraftangan anyaman buluh yang begitu halus dan mempunyai corak yang sangat menarik. Rasanya kepakaran seperti ini boleh perturunkan kepada generasi muda dan diperkembangkan lebih luas supaya kraftangan tradidisi suku kaum Murut tidak akan pupus ditelan zaman.

Selain itu, banyak lagi keistimewaan lain yang ditawarkan oleh Daerah Nabawan, iaitu seperti keindahan alam semula jadi yang boleh dibangunkan sebagai eco-tourism untuk menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Sumber alam semula jadi dan budaya mesyarakat setempat mungkin boleh dijadikan sebagai asas untuk membangunkan eco-tourism di daerah tersebut.

NABAWAN SEMAKIN DEKAT

Hari ini saya mengunjungi Pekan Nabawan iaitu sebuah pekan kecil, dalam Kawasan Parlimen Pensiangan, yang terletak lebih kurang 65 kilometer dari Pekan Keningau. Pada tahun 90an dahulu saya merasakan Nabawan itu jauh untuk dikunjungi tetapi pada hari ini saya terasa Nabawan semakin dekat kerana pekan itu sudah boleh dihubungi melalui jalan raya yang berturap. Sebenarnya jarak di antara Nabawan dan Keningau pada hari ini dan pada tahun 90an adalah masih sama, cuma masa perjalanan semakin singkat. Ini menunjukkan pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk memberikan pembangunan infrastruktur yang baik bagi kemudahan orang ramai yang tinggal di pedalaman seperti Nabawan.

Kerajaan dipercayai akan terus memberikan pembangunan infrastruktur yang lebih baik untuk dinikmati oleh penduduk Daerah Nabawan dan seluruh Parlimen Pensiangan amnya. Menurut Encik Matusin Sungsang, Pegawai Pembangunan Negeri Sabah, kerajaan memperuntukkan RM2 juta untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di Pensiangan bagi memberi lebih kemudahan dan keselesaan penduduk di daerah tersebut (Utusan Malaysia, 22/10/2008).
.
Beliau berkata, antara kemudahan yang bakal dibina ialah balai budaya, jeti, laluan pejalan kaki dan projek pembangunan lain menerusi pejabat daerah. Projek pembangunan infrastruktur ini bukan sahaja di Pensiangan tetapi juga daerah kecil yang berdekatan seperti Nabawan dan Pegalungan.

Tuesday, November 11, 2008

LAKUKAN SENDIRI (DO IT YOURSELF)

Apa yang dimaksudkan sebagai “Lakukan Sendiri” itu ialah aktiviti yang dilakukan sendiri tanpa bantuan pekerja profesional seperti pembaikan rumah, kereta, komputer, kerja kayu, hobi atau berkebun dan sebagainya.

Istilah “Lakukan Sendiri” atau ”Do It Yourself” sebenarnya bukanlah satu istilah yang baru. Istilah ini mula digunakan pada sekitar tahun 1960an oleh penyampai TV Britain, Berry Buknell

John Naisbit dalam bukunya, “Megatrend”, 1988 yang mengandungi 10 visi telah menyentuh tentang “Lakukan Sendiri” dalam satu visinya “From Industrial Help To Self Help”.

Industri ini meningkat dengan pesat sejak tahun 1990an kerana ramai orang ingin membaiki kediaman mereka sendiri tanpa membayar upah kepada orang lain dan juga disebabkan kesukaran mendapat orang yang boleh melakukannya. Orang yag ingin lmelakukan kerja-kerja seperti itu juga semakin berkurangan apabila kehidupan semakin mewah.

SemakIn ramai orang yang ingin melakukan sendiri kerana harga upah semakin mahal, khususnya di negara-negara Barat seperti di Amerika Syarikat.

Peralatan-peralatan dan buku panduan untuk membuat kerja-kerja sendiri seperti membaiki kereta, rumah dan sebagainya semakin mudah didapati kerana semakin banyak dijual di supermarket.

Pada hari ini supermarket di negara kita pun sudah mewujudkan bahagian yang menjual perlatan Lakukan Dendiri atau ”DIY Department” bagi memudahkan orang ramai membeli beralatan untuk melakukan sendiri.

Membangunkan Potensi

Kita mempunyai potensi yang sedia ada dalam diri kita. Kita hanya membangunkan potensi tersebut untuk menjadi orang yang berkebolehan melaksanakan sesuatu dengan sendiri. Kita akan rugi jika kita tidak membangunkannya.

Menjimatkan Perbelanjaan

Dengan melakukan sendiri, kita akan dapat menjimatkan perbelanjaan kita kerana kita tidak payah bembayar upah. Contohnya, apabila berlaku kerosakan-kerosakan kecil seperti kerosakan kepala paip dan sebagainya kita tidaklah perlu memanggil tukang paip atau plumber jika kita pandai memperbaikinya sediri.

Kita tidak perlu membeli kepala paip baru jika kita pandai menggantikan sejenis getah di dalam kepala paip itu (biasanya berwarna hitam atau putih). Kosnya tidakpun sampai 50 sen. Ini lebih jimat daripada membeli kepala paip. Sudah tentu kosnya lebih mahal jika kita memanggil pekerja professional. Mungkin juga pekerja profesional tidak mahu membuat kerja-kerja yang terlalu sedikit seperti itu.

Jika kita pandai memperbaiki kerosakan-kerosakan kecil kereta atau motorsikal, kita tidak perlu menghantarnya ke bengkel. Kalau dulu kita menghantar ke bengkel tetapi sekarang kita sudah tidak perlu menghantarnya lagi kerana kita sudah boleh memperbaikinya sendiri. Cara beginilah yang dikatakan oleh John Naisbit sebagai ”From Industrial Help To Self Help.” Ini juga merupakan satu penjimatan.

Semakin banyak perkara-perkara yang kita boleh lakukan sendiri maka semakin banyaklah penjimatan yang boleh kita buat. Ini dapat menambah wang tabungan kita atau wang untuk keperluan persekolahan anak-anak kita dan sebagainya

Kita tentu dapat membuat penjimatan yang lebih banyak kalau kita boleh memperbaiki atau menaiktaraf (upgrade) keupayaan komputer kita dengan melakukannya sendiri.

Hari ini kebanyakan anak-anak kita mempunayai komputer sendiri, terutamanya apabila mereka sudah berada di pusat pengajian tinggi, dan keperluan mereka pula meningkat dari semasa ke semasa. Mereka sentiasa mahukan komputer yang berkeupayaan lebih baik. Jika kita pandai melakukannya sendiri ,kita tidak payah menghantarnya ke kedai-kedai komputer.

Untuk menaiktaraf keupayaan komputer sebenarnya bukannya susah sangat, kita cuma perlu membeli komponen-komponen yang kita perlukan dan memasangnya sendiri. Contohnya, kita boleh menambah RAM dan hard disk komputer kita dengan melakukannya sendiri. Kita boleh beli komponen-komponen komputer di mana-mana kedai komputer mengikut mana yang kita perlukan dan banyak pilihan. Banyak lagi yang kita boleh buat, seperti menambah display card supaya komputer itu boleh dijadikan TV. Begitu juga kalau komputer kita rosak, beli saja komponen yang rosak itu dan pasang sendiri.

Kalaulah kita tidak tahu melakukannya sendiri maka sudah tentu kita terpaksa menghantarnya ke kedai komputer dan upah pembaikan atau pemasangannya terpaksa dibayar. Lebih mahal lagi kosnya kalau kita membeli komputer baru kerana komputer kita atau anak kita sudah ketinggalan zaman.

Sebenarnya kalau komputer itu masih boleh dinaiktaraf, tidak payahlah kita membeli komputer baru. Saya sendiri masih menggunakan komputer riba yang lama tetapi saya naiktarafkan dan hingga hari ini masih lagi boleh digunakan dengan baik dan memanuhi keperluan saya.

Kita juga boleh bekebun, seperti menanam sayur-sayuran, dibelakang rumah jika ada kawasan lapang atau melakukannya secara hydroponic. Ini juga adalah sebagai salah satu usaha ”lakukan sendiri” bagi menjimatkan perbelanjaan harian.

Menambah Ilmu Pengetahuan

Dengan melakukan kerja sendiri kita akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan kita. Kita melakukannya sambil kita belajar. Ini adalah sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat.

Untuk menambah pengetahuan, kita kenalah membeli buku-buku yang menunjukan cara-cara membuat kerja yang ingin kita lakukan sendiri. Semakin banyak kita membaca semakin banyak pengetahuan yang kita perolehi

Meningkatkan Kemahiran

Dengan melakukan sendiri akhirnya kita akan akan menjadi kita bertambah mahir. Semakin selalu kita melakukannya semakin tinggi kemahiran kita.

Keperluan semasa kecemasan

Sebenarnya kebolehan melakukan sendiri itu adalah sebagai satu keperluan semasa kita dalam kecemasan, seperti semasa kereta kita mati dalam perjalanan di tempat yang sangat jauh dari bengkel kereta. Jika kita pandai mempeikinya sendiri maka sudah tentu kita tidak menghadapi banyak masalah. Tetapi kalau kita langsung tidak tahu membaiki kereta maka kerosakan yang kecil pun terpaksa memanggil mekanik atau menarik kereta ke bengkel dengan kos yang tinggi.

Menjadikannya Sebagai Hobi

Kita boleh menjadikan ”Melakukan Kerja Sendiri” itu sebagai hobi. Kreativiti kita meningkat jika kita men jadikannya sebagai hobi. Jika kita boleh melakukan sendiri pelabagai kerja seperti membuat almari dan sebagainya, maka sudah tentu kita boleh buat mengikut kreativiti kita sendiri .

”Lakukan Sendiri” adalah satu usaha yang baik. Bagaimanapun, jangan melakukan sendiri perkara-perkara yang menyalahi undang-undang atau perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri kita atau orang lain.

Monday, November 10, 2008

MASALAH PENTERJEMAHAN


PENDAHULUAN


Secara semula jadinya penterjemahan merupakan aktiviti yang sukar bagi penyunting. Lebih-lebih lagi jika penyunting itu tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang budaya dan konteks sejarah masyarakat yang punya bahasa serta tidak berpengetahuan mendalam tentang bidang yang diterjemah seperti berkaitan dengan dokumen undang-undang, agama, sastera dan sebagainya. Proses penterjemahan menjadi lebih rumit disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penterjemah. Namun, penterjemahan tetap merupakan aktiviti yang penting bagi membolehkan pelbagai bentuk bahan bacaan dinikmati oleh sasaran yang lebih luas. Kertas ini akan membincangkan tentang masalah yang dihadapi oleh penterjemah.

Mengikut Advance Oxford Dictionary, ”Translation is the process of changing somehting that is written or spoken into another language.” Dalam kertas ini, penterjemahan didefinisikan sebagai ”aktiviti mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain.” Penterjemah pula bermaksud orang yang melaksanakan kerja penterjemahan. Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber). Penterjemahan merupakan satu aktiviti yang penting untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kerana ia membolehkan masyarakat menikmati ilmu pengetahuan daripada budaya asing.

PRINSIP PENTERJEMAHAN

Sebelum melihat masalah yang dihadapi oleh penterjemah, adalah penting kita mengetahui prinsip-prinsip penterjemahan. Sebenarnya penterjemahan merupakan sesuatu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini adalah kerana penterjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca dan malah boleh menimbulkan salah faham terhadap maksud pengarang teks sumber. Oleh itu, penterjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip-prinsip tertentu. Antara prinsip-prinsip yang perlu diikuti adalah seperti berikut:
.
Tidak mengubah maksud pengarang teks asal

Prinsip ini adalah jelas untuk para penterjemah. Tetapi, pada praktiknya para penterjemah sebenarnya sukar untuk mengekalkan maksud pengarang asal secara 100%. Perubahan maksud sukar dielakkan kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa. Namun, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan sengaja.

Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca

Penterjemahan sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai.

Menghormati tatabahasa penerima

Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa penerima harus dihormati. Ini bermakna tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksa ke dalam teks terjemahan.
.
Menterjemah makna bahasa dan bukan menterjemah bentuk bahasa
.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit.

Prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas adalah sebagai panduan bagi seorang penterjemah untuk menghasilkan karya yang boleh dipercayai sebagai satu karya terjemahan yang boleh difahami serta selesa dibaca. Secara teorinya mungkin kerja-kerja penterjemahan kelihatan mudah, tetapi secara praktiknya ia tidak semudah itu kerana banyak aspek yang perlu diambil kira. Selain dari segi bahasa dan strukturnya, penterjemah juga harus mengambil kira budaya dan konteks sejarah bagi budaya berkenaan. Tanpa memahami budaya dan sejarahnya maka adalah sukar bagi seseorang penterjemah untuk melaksanakan atau membuat kerja-kerja terjemahan dengan tepat.

PROSES TERJEMAHAN

Penterjemahan dilakukan adalah untuk menterjemah makna teks sumber dan bukannya menterjemahkan bentuk bahasa teks sumber ke dalam bahasa sasaran. Penterjemahan seharusnya fokus kepada makna. Dari segi prosesnya, penterjemahan dimulakan dengan pentafsiran makna dan diakhiri dengan pengalihan makna ke dalam bahasa sasaran. Proses penterjemahan yang lebih terpeinci adalah seperti berikut:

Menterjemah kata

Kata-kata teks sumber harus ditafsir menurut konteks ayat kerana kata dalam sesuatu bahasa mungkin mempunyai lebih dari satu makna. Selepas sudah mengenal pasti makna kata-kata teks sumber, maka penterjemah harus mencari kata bahasa sasaran yang sepadan dengan makna kata itu. Kata yang dicari itu seharusnya mempunyai makna yang terdekat dengan istilah yang diterjemahkan.

Satu masalah umum yang sentiasa dihadapi oleh penterjemah ialah tiada kata-kata bahasa sasaran yang sepadan dengan bahasa sumber. Maka masalah ini harus diselesaikan melalui cara seperti berikut:
  • Memadankan perkataan bahasa sumber dengan serangkai kata bahasa sasaran.
  • Memadankan perkataan bahasa sumber dengan perkataan ciptaan penterjemah.
  • Mengambil terus perkataan bahasa sumber ke dalam teks terjemahan dengan mengubahsuai sebutan/ejaannya menurut ciri-ciri fonologi bahasa sasaran

Menterjemah Ungkapan

Dalam mentafsir makna teks sumber, penterjemah juga harus mentafsir makna pada peringkat ungkapan, yakni peringkat frasa. Ini bermaksud penterjemah akan menterjemah satu frasa demi satu frasa. Ini adalah kerana ungkapan ini mungkin akan membawa maksud kiasan dan dengan itu kita tidak boleh mentafsir makna ungkapan berkenaan berdasarkan makna kata-kata yang membentuknya. Contohnya, ungkapan ”panjang tangan” tidak boleh diterjemahkan sebagai ”long handed”, kerana dalam bahasa Melayu ”panjang tangan” membawa makna kiasan ”suka mencuri”. Perkataan ”breadwinner” dalam bahasa Inggeris tidak boleh diterjemahkan secara literal atau harfiah kerana maksudnya ”pencari nafkah” dan bukannya ”pemenang roti”. Ini memerlukan kefahaman tentang budaya asing.

Menterjemah Ayat

Dalam menterjemahkan ayat, unsur makna dalam ayat teks asal boleh dipindah ke dalam sebuah ayat bahasa sasaran, ataupun ke dalam beberapa ayat bahasa sasaran. Ini bermaksud satu ayat daripada teks asal tidak semestinya dipindah dengan satu ayat teks sasaran, tetapi boleh dipindahkan dengan beberapa ayat teks sasaran.

Tindakan satu ayat kepada banyak ayat dalam penterjemahan adalah supaya ayat yang dihasilkan daripada penterjemahan tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan pemahaman para pembaca. Dalam keadaan tertentu, ayat dalam teks asal mungkin terlalu panjang dan sekiranya diterjemahkan terus ke dalam satu ayat maka ayat itu akan menghasilkan kesan yang buruk.

Contohnya, ayat “The content of school textbooks is often the issue of debate, as their target audience is young people, in the term ”whitewashing” is the one commonly used to refer to selective removal of critical or damaging evidence of comment” diterjemahkan sebagai “Penapisan isi kandungan buku teks sekolah adalah satu isu pendebatan.Ini adalah kerana sasaran pembaca bagi buku teks ialah orang muda. Dalam pendebatan ini, perihal memindahkan dalil-dalil yang membahaya sentiasanya dikaitkan dengan konsept “penyucian’. Dalam bahasa Inggeris cuma satu ayat tetapi apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu menjadi tiga ayat.

KESUKARAN DALAM AKTIVITI PENTERJEMAHAN

Kesukaran yang dihadapi oleh penterjemah dalam kerja-kerja penterjemahan adalah disebabkan kurang keupayaan untuk mematuhi prinsip-prinsip dan proses penterjemahan. Penterjemah yang menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik tidak semestinya boleh menterjemah dengan baik. Penterjemah bukan hanya sekadar mengalihbahasakan karya dari bahasa sumber ke bahasa yang lain tetapi juga wajib memahami situasi dan konteks karya yang diterjemahkan. Jika yang diterjemahkan itu karya seni, penterjemah perlulah mempunyai rasa seni juga. Selain memindahkan gagasan atau makna, penterjemah juga perlu memindahkan bentuk. Contohnya, prosa menjadi prosa dan puisi tetap menjadi puisi. Penterjemah yang tidak berpengetahuan tentang puisi akan menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan karya-karya yang berbentuk puisi. Dengan demikian, timbul berpendapat bahawa yang boleh menterjemahkan karya sastera itu hanyalah penterjemah yang terdiri daripada sasterawan.

Terdapat pelbagai sebab kenapa penterjemah tidak boleh menterjemah dengan baik. Antaranya adalah disebabkan penterjemah kurang menguasai bahasa asal atau sumber dengan baik dan kurang memahami konteks dan latar belakang budayanya. Kadang kala penterjemah menguasai bahasa asalnya, tetapi konteks zaman atau peristiwa sejarahnya kurang dikuasai. Akibatnya, penterjemahan yang dibuat tidak tepat kerana tidak menguasai konteks zaman dan keadaan sosialnya.

Selain itu, penterjemah kurang menguasai bahasa sasaran. Penguasaan bahasa sasaran sebenarnya lebih penting daripada penguasaan bahasa sumber. Kalau penterjemah tidak tahu bahasa sumber, dia boleh merujuk kamus, beratanya kawan atau merujuk internet. Tetapi, kalau penguasaan pentenjemah itu terbatas dalam bahasa sasaran dan pengetahuannya tentang nahu dan susunan ayat juga terbatas, maka dengan sendirinya hasilnya juga kurang memuaskan. Penterjemah seharusnya lebih menguasai bahasa sasaran di samping menguasai bahasa sumber dengan baik. Jika penterjemah tidak menguasai bahasa sumber dengan baik, tetap menjadi masalah.

Untuk melahirkan hasil terjemahan yang bernilai, penterjemah perlu menentukan teks terjemahan berdasarkan kesannya terhadap pembaca. Ada terjemahan bahan-bahan yang ringan, yang tidak begitu mementingkan ketepatan makna, contohnya iklan. Dalam iklan, kesan promosi adalah lebih dipentingkan daripada ketepatan maknanya dalam teks asal. Bagi terjemahan bahan-bahan yang berat seperti dokumen undang-undang, teks agama dan buku-buku ilmiah pula adalah dituntut supaya mempunyai makna yang betul-betul sama dengan teks sumber.

Penterjemahan yang dilakukan dalam masa yang terhad, seperti menterjemahkan bahan untuk berita, juga boleh menyebabkan terjemahan tidak begitu tepat. Kemampuan untuk menterjemah dengan cepat adalah perlu bagi penterjemah berita-berita akhbar.

Perterjemahan yang kurang tepat berlaku di mana-mana sahaja, termasuklah bahan-bahan terjemahan yang dibuat oleh institusi yang bertauliah. Sebenarnya saya sendiri pernah minta bantuan daripada salah sebuah institusi terjemahan di negara ini untuk menterjemahkan buku kecil yang diterbitkan oleh kementerian tempat saya bertugas. Terdapat beberapa terjemahan yang kurang tepat bagi tujuan bahan bacaan peringkat antarabangsa . Contohnya, perkataan “Setiausaha Bahagian” diterjemahkan ke Bahasa Inggeris “Divisional Secretary”. Rasanya pembaca di peringkat antarabangsa akan lebih faham jika terjemahannya “Undersecretary”.

Terjemahan yang kurang tepat bukan hanya berlaku dalam terjemahan dari Bahasa Malayu ke Bahasa Inggeris atau sebalikny, tetapi ia juga berlaku dalam terjemahan bahasa-bahasa lain seperti Arab dan Perancis. Masalah penterjemahan di kalangan penterjemah-penterjemah Arab pernah dibincangkan oleh Imad Ali Almaghary dalam artikelnya bertajuk ”Translation Problems Amongst Arab Translators.” Menurut beliau kebanyakan masalah yang dihadapi oleh penterjemah Arab ialah masalah semantik, seperti menterjemahkan ”The United States Secretary of States” ke dalam Bahasa Arab dengan maksud yang berlainan, iaitu “Prime Minister” atau “Perdana Manteri.” Sesetengah terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris dan Jerman juga dikatakan ada kalanya tidak begitu tepat. Ini berlaku dalam terjemahan tape video pengakuan Osama bin Laden yang disiarkan dalam media berbahasa Inggeris dan Jerman, seperti mana yang dijelaskan oleh Robert Lederman dalam artikelnya bertajuk “German Media: bin Laden ‘Smoke Gun’ Tape translation Inaccurate.”

Pembarita-pemberita asing telah tidak sependapat dalam membuat menterjemahkan ucapan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pada bulan Oktober 2005. Peribahasa (idiom) Parsi , “bayad az safheh-ye ruzgar mahv shaved,” telah menimbulkan pelnagai pandangan terhadap maksudnya. Peribahasa tersebut diterjemahkan ke bahasa Inggeris, that Israel “should be wiped off the map.” Ada yang menterjemahkan maksudnya hanya sebagai rujukan sejarah sahaja dan ada pula yang menganggapnya sebagai deklarasi perperangan. Penyiaran berita terjemahan yang tidak jelas maksudnya boleh mengelirukan pembaca.

Tidak kurang juga rumitnya untuk menterjemahkan bahasa Spanish kepada bahasa Inggeris kerana bahasa Spanish mempunyai warisan yang kaya dengan peribahasa dan pelbagai ungkapan yang sukar diterjemahkan. Contohnya, ungkapan “Hay moros en la costa” secara literalnya diterjemahkan kepada ”there are Mooors on the cost” dalam bahasa Inggeris, tetapi terjemahan yang lebih tepat pula ialah “watch out”. Begitu juga dengan ungkapan “poner la inglesia en las manos de Lutero” yang diterjemahkan secara literal, “to put the Church in the hand of Luther”. Tetapi terjemahan yang paling sesuai dalam bahasa Inggeris pula ialah “to let the fox guard the chicken.” Namun, terjemahan ini telah menghilangkan rujukan agama dan budaya.

Kebanyakan suratkhabar dan majalah antarabangsa hari ini banyak bergantung kepada terjemahan. Ini telah berlaku di negara-negara Timur Tengah di mana ramai wartawan yang tidak faham bahasa Arab. Memandangkan keadaan yang demikian, mereka terpaksa mengupah perterjemah amatur kerana bayaran bagi penterjemah profesional terlalu mahal. Wartawan tidak berupaya untuk mengesahkan ketepatan terjemahan kerana mereka sendiri tidak memahami bahasa sumber.

Mungkin ada yang berpendapat manusia boleh digantikan dengan mesin untuk melaksanakan kerja-kerja penterjemahan bagi mengatasi masalah penterjemahan yang dilakukan oleh manusia. Sebenarnya sudah ada terjemahan mesin, iaitu proses mengalihbahasa atau terjemahan automatik daripada satu bahasa ke satu bahasa lain yang dilakukan oleh komputer. Bagaimanapun, terjemahan mesin terbukti sebagai satu matlamat yang sukar dicapai. Walaupun, sudah ada beberapa sistem terjemahan mesin (sungguhpun tidak sempurna) yang mampu menghasilkan terjemahan yang berkualiti untuk digunakan dalam beberapa bidang untuk membantu terjemahan manusia tetapi mesin belum lagi dapat menggantikan manusia sepenuhnya.

Perbincangan di atas dapat menggambarkan bahawa masalah penterjemahan adalah merupakan masalah sejagat yang berlaku dimana-mana sahaja. Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, kita akan dapat memahami betapa sukarnya untuk membuat terjemahan yang tepat bagi membolehkan pembaca mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

ANALISIS

Kesilapan terjemahan berlaku disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh penterjemah dalam proses penterjemahan. Kesilapan terjemahan mengakibatkan pembaca/pendengar mendapat maklumat yang silap atau salah. Ini boleh menimbulkan salah tanggapan pembaca/pendengan terdap sesuatu isu dan boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Selain itu, kredibiliti penterjemah juga akan terjejas.

CADANGAN

Bagi mengurangkan masalah ketidaktepatan terjemahan adalah disarankan supaya penterjemah meningkatkan pengetahuan terhadap bahasa sumber dan bahasa sasaran di samping meningkat kefahaman tentang budaya asing yang berkenaan. Penterjemah juga perlu meningkatkan kesungguhan dalam melaksanakan kerja-kerja penterjemahan.

KESIMPULAN

Masalah yang dihadapi oleh penterjemah dalam melaksanakan kerja-kerja terjamahan adalah disebabkan oleh pelbagai factor seperti berikut:
  • Kekurang kemahiran bahasa sumber;
  • Kekurang kemahiran bahasa sasaran;
  • Kekurang memahami budaya dan sejarah;
  • Kesukaran memadankan bahasa sumber dengan bahasa sasaran;
  • Masalah menterjemah ungkapan;
  • Ketiadaan bahasa yang sesuai;
  • Kesuntukan masa (khususnya penterjemahan berita akhbar yang perlu segera); dan
  • Kesukaran mengekalkan maksud asal 100%.

Perterjemah perlu mengatasi masalah-masalah tersebut untuk menghasilkan terjemahan yang tepat dan berkualiti.