Tuesday, October 14, 2008

KATA-KATA DALAM AUTOGRAPH SAYA SEMASA SEKOLAH RENDAH

I HAVE A PEN
MY PEN IS BLUE
I HAVE A FRIEND
MY FRIEND IS YOU

HARI INI PASTI AKAN LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN
ESOK PASTI AKAN LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI

Monday, October 13, 2008

TEKA-TEKI

Sejumlah buah durian dibahagikan kepada sejumlah penerima. Jika setiap seorang menerima satu biji maka durian itu berlebih satu biji. Jika setiap seorang pula menerima dua biji maka seorang penerima mendapat kurang satu biji.

Berapa orang penerimanya dan berapa biji durian ?

PERKATAAN "PEJABAT" BERMAKSUD "PEGAWAI"

Saya pernah menyertai pertukaran sementara ke Indonesia bersama-sama dengan seorang rakan dari Sarawak dan empat orang dari Semenanjung. Kami disambut dengan penuh hormat dan diberikan layanan yang sangat baik. Setiba kami di Lapangan Terbang Aantarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, kami dibawa menaiki kereta baru jenis "KIJANG" yang kerusinya masih lagi berbungkus plastik dan bertulis perkataan "Rombongan Pejabat...................Malaysia" di cermin hadapannya.

Apa yang menjadi tanda tanya saya ialah perkataan "pejabat" yang tertulis di cermin hadapan kereta tersebut kerana di Malaysia biasanya perkataan "pejabat" merujuk kepada ruang tempat bertugas atau bekerja dan bukannya pegawai yang bertugas di pejabat. Namun, saya tidak berani terus bertanya tentang maksud perkataan "pejabat' dalam bahasa Indonesia kerana baru saja tiba di sana dan belum begitu ramah dengan mereka.

Setelah benar-benar ramah dan mesra dengan mereka, barulah saya berani bertanya tentang maksud perkataan tersebut dalam bahasa Indonesia. Salah seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa dalam bahasa Indonesia perkataan "pejabat" itu bernaksud "pegawai" atau seseorang yang bekerja di "kantor" atau di "opis". Dalam perkataan lain, ia merujuk kepada seseorang yang bekerja di sesebuah Jabatan. Perkataan "gawai" dalam bahasa Jawa bermaksud "kerja". Ini bermakna perkataan "pegawai" itu bermakksud "pekerja". Setiap perkataan mengenai perbuatan yang mempunyai imbuhan "pe" di hadapannya bermaksud ada orang yang melakukannya. Contohnya, pelukis, penyanyi, penari, penyamun, penulis, pekerja, pelari dan sebagainya.

Apabila kembali ke Malaysia, saya merujuk Kamus Dewan untuk mengetahui pengertian perkataan "pejabat". Rupa-rupanya perkataan "pejabat" mempunyai sekurang-kurangnya dua makna, iatu "bangunan (ruang, bilik dsb) tempat bekerja atau tempat diselenggarakan pelbagai urusan" ataupun "pegawai kerajaan yang memegang jawatan penting, pemegang jawatan, penjabat". Menurut Kamus Dewan, perkataan "gawai" bermaksud "kerja" atau "tugas".

Adakah semua perkataan mengenai perbuatan yang mempunyai imbuhan "pe" di hadapannya bermaksud ada orang yang melakukannya? Bagaimana dengan perkataan "penyapu" yang berasal daripada kata dasar "sapu". Perkataan "penyapu" tidak bermaksud ada orang yang melakukan kerja menyapu tetapi ia merupakan satu peralatan untuk menyapu. Kalau ada orang melakukannya, pekataan "sapu" ditambah dengan perkataan "tukang" , iaitu "tukang sapu". Saya tidak tahu kenapa penggunaan imbuham "pe" dalam perkataan "penyapu" tidak selaras dengan penggunaan imbuhan "pe" dalam perkataan "pelukis", "penyanyi", "penari", "penyamun", "penulis", "pekerja" dan "pelari".

Thursday, October 9, 2008

CANTIK ITU SUBJEKTIF

Ada kalanya kita teringin hendak bercakap tentang sesuatu perkara yang tidak patut-patut. Sebenanrnya tiada sesiapapun yang boleh melarang atau menghalang kita daripada bercakap kalau kita sudah mengambil keputusan untuk bercakap. Sebaliknya, tiada sesiapa yang boleh memaksa kita untuk bercakap jika kita sudah mengambil keputusan untuk tidak bercakap. Kalau kita bercakap juga, itu bermakna kita sudah mengubah fikiran kita untuk bercakap atau kita bercakap tanpa berfikir. Kita sendiri yang berhak mengawal pemikiran kita (dengan izin Allah) dan kita sendirilah yang menjadi drivernya.

Hari ini saya ingin bercakap tentang "cantik." Adakah kamuorang mau cantik atau kamuorang memang cantik, ataupun cuma perasaan kamuorang saja cantik. Bukan susah bah, kita boleh membeli berjenis-jenis produk kecantikan yang dijual di mana-mana, di kaki lima pun ada, kalau itulah yang boleh menjadikan kita cantik.

Ada orang berkata kecantikan itu adalah sesuatu yang "subjektif" dan bukan sesuatu yang boleh diukur secara "objektif." Apa yang dikatakan "cantik" itu boleh berubah-ubah dari semasa ke semasa. Orang yang cantik pada zaman dahulu tidak semestinya cantik bagi orang zaman sekarang. Orang yang dianggap cantik oleh orang di Afrika tidak semestinya dianggap oleh orang di Amerika. Saya ada terbaca satu buku yang mengatakan perempuan yang cantik bagi orang di sebelah Afrika lebih gemuk berbanding dengan perempuan yang dianggap cantik oleh orang Amerika Syarikat. Bukan itu saja, Ratu Cantik Amerika Syarikat pada mulanya semakin setahun semakin kurus, tetapi tidaklah berterusan hingga hari ini. Mungkin penilai yang terdahulu sukakan yang gemuk dan penilai tahun berikutnya pula sukakan orang yang kurus. Mungkin juga ada orang yang menilai kecantikan itu dari rupa paras muka atau dari kelangsingan susuk badan dan sebagainya.

Semakin saya banyak bercakap tentang "cantik" semakin saya keliru apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai "cantik." Adakah kecantikan itu shanya terletak pada diri orang yang menilai atau ia terletak pada yang dinilai atau dilihat. Ataupun kecantikan itu tidak wujud sama sekali, melainkan kita sendiri (sebagai penilai) yang mewujudkannya. Kalau begitu, kenapa tidak kita wujudkan kecantikan itu dalam diri kita supaya semua yang kita lihat di muka bumi ini menjadi cantik-cantik belaka.

WHAT DO YOU THINK ?

What do you think, geng ? Do we know everything?

In fact, we don't know everything. Some of us "know nothing about something" and some "know something about nothing." "Know nothing about something" and "know something about nothing" are two different things.

A friend of mine told me, "know nothing about something" is better than "know something about nothing." If we know nothing about something, we still can learn until we know something about something. But if we know something about nothing, we can only use our knowledge for nothing. What do u think ? Do u wanna use u'r knowledge for nothing?

MAKAN-MAKAN TAHUN

Pada zaman dahulu suku kaum Kadayan mengadakan "makan-makan tahun" pada setiap tahun. Biasanya "makan-makan tahun" diadakan selepas ngatam (menuai) padi. "Makan-makan tahun" bermaksud "kenduri tahunan" dalam Bahasa Melayunya.

Mungkin ramai generasi muda Kadayan hari ini yang tidak pernah menghadiri "makan-makan tahun" atau tidak tahu langsung apa yang dikatakan "makan-makan tahun" kerana akhir-akhir ini "makan-makan tahun" tidak pernah diadakan lagi. Contohnya, di kampung saya sudah berpuluh-puluh tahun tidak ada "makan-makan tahun".

"Makan-makan tahun" merupakan kenduri kesyukuran selepas menuai padi seperti Pesta Menuai yang disambut oleh suku kaum Kadazandusun pada setiap tahun. Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi pengisiannya kerana "makan-makan tahun" bukannya satu pesta yang diisikan dengan perkara-perkara yang berunsur hiburan seperti tarian, nyanyian dan sebagainya. Kenduri tersebut diiringi dengan doa selamat dan kesyukuran.

Antara kelainan "makan-makan tahun" daripada kenduri biasa ialah dari segi hidangan makanannya. Hidangan "makan-makan tahun" ialah nasi tumpang, iaitu nasi yang dihias dengan telur dadar, kuih penyaram, pisang, wajid, inti kelapa parut dan tampisung sia (garam diisi dalam daun niyik yang digubah berbentuk cone). Saya kurang pasti, mungkin ada lagi makanan lain yang dibubuh di atas nasi. Selain daripada semasa "makan-makan tahun", nasi tumpang juga dihidangkan semasa ganapan ampat puluh (kenduri 40 hari) dan nandayi (meletak batu nisan) bagi orang yang telah meninggal dunia pada zaman dahulu. Ini bukanlah sesuatu yang dianjurkan oleh agama Islam.

Tuesday, October 7, 2008

"MALAM TUJUH" TRADISI KADAYAN

Etnik Kadayan di kampung saya mengadakan "malam tujuh" pada setiap bulan Ramadhan. Mungkin etnik lain tidak mempunyai tradisi mengadakan "malam tujuh"seperti yang dilakukan oleh etnik Kadayan di kampung saya. "Malam tujuh" merupakan salah satu tradisi etnik Kadayan yang berunsur keagamaan, yang diamalkan oleh generasi terdahulu hingga ke hari ini, iaitu mempunyai unsur yang hampir sama seperti "kenduri arwah" yang diamalkan oleh sesetengah etnik lain yang beragama Islam di Sabah. Etnik Kadayan di kampung saya tidak mengadakan "kenduri arwah."

Pada zaman dahulu "malam tujuh" diadakan pada "malam tujuh likur", iaitu pada malam 27 Ramadhan. Bagaimanapun, "malam tujuh" boleh dadakan pada salah satu malam dalam tujuh malam terakhir setiap bulan Ramadhan. "Malam tujuh" diadakan pada akhir bulan Ramadhan mungkin ada kaitannya dengan sebuah Hadis yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. berkata, Malam Qadar itu ialah dalam tujuh hari terakhir bulan Ramadhan. Dalam sebuah Hadis yang lain, Nabi berkata Lailatul Qadar itu adalah dalam sepuluh malam terakhir.

Tarikh "malam tujuh" di kampung saya biasanya ditentukan melalui perbincangan di kalangan golongan tua dengan diketuai oleh seorang yang berpengaruh dan berpengalaman. Walaupun orang yang mengetuai itu bukannya pemimpin politik atau pemimpin yang dilantik oleh kerajaan, tetapi beliau sentiasa dihormati dan dipercayai oleh penduduk kampung. Pemimpin kampung disegani dan dihormati pada ketika itu bukannya atas dasar surat pelantikannya secara rasmi tetapi lebih kepada kewibawaan yang beliau tunjukkan. Secara sendirinya potensi untuk menjadi pemimpin itu menyerlah apabila seseorang itu jujur, amanah, boleh dipercayai serta berilmu pengetahuan dari segi adat resam dan hal ehwal keagamaan.

Beberapa hari sebelum "malam tujuh" penduduk kampung sudah mula membuat persiapan. Suri rumah atau wanita pergi membeli-belah untuk pelbagai keperluan "malam tujuh" seperti makanan dan minuman. Antara keperluan yang mereka beli ialah bawang, asam garam, gula, kopi, teh, minyak masak, rempah kari, roti dan sebagainya. Beras tidak payah dibeli kerana penduduk kampung masing-masing menanam padi secara kecil-kecilan untuk sara diri. Ayam kampung, ikan dan sesetengah sayur-sayuran juga boleh dikatakan tidak payah dibeli. Ayam mereka ternak sendiri, ikan mereka tangkap di laut dan di sungai, lokan (sejenis kerang) mereka kutip sendiri di kawasan paya bakau berhampiran, umbut kelapa boleh dijadikan sayur dan santan kelapa yang mereka perah adalah hasil dari kelapa yang mereka tanam sendiri. Kadang-kala daging pun tidak payah dibeli jika kaum lelaki yang berburu ke hutan pada malam sebelum "malam tujuh' mendapat rusa, kijang atau pelanduk untuk dijadikan lauk.

Walaupun pada masa itu keadaan ekonomi penduduk kampung tidaklah seberapa sangat kalau dibanding dengan hari ini, tetapi mereka sanggup mengadakan majlis yang semata-mata bergantung kepada sumbangan ikhlas masing-masing. Ini menunjukkan adanya semangat bekerjasama dan bermuafakat di kalangan penduduk kampung. Begitulah budaya yang mereka amalkan sejak zaman berzaman.

Pada zaman dahulu "malam tujuh" diadakan di rumah kerana tidak ada masjid/surau atau balai raya di kampung itu untuk tempat mengadakan majlis tersebut. Salah seorang daripada penduduk kampung yang berpengalaman, berpengaruh dan dihormati diberi kepercayaan untuk mengetuai "malam tujuh" yang biasanya diadakan di rumah beliau sendiri atau di rumah sanak saudara beliau. Beberapa hari sebelum "malam tujuh" diadakan, seluruh masyarakat kampung bergotong royong mendirikan taatak (teratak) atau sejenis pondok tidak berdinding ataupun cuma berdinding separuh sebagai tempat berehat, berteduh, menyediakan pelbagai bahan-bahan keperluan, meletak pinggan mangkuk dan sebagainya. Taatak itu juga dijadikan tempat makan semasa "malam tujuh" sekiranya ruang dalam rumah tidak dapat menampung tetamu yang hadir.

Sejak awal-awal pagi lagi penduduk kampung sudah mula berkumpul untuk membuat pelbagai persiapan "malam tujuh". Masing-masing mereka melaksanakan tugas tanpa diarah sambil bertukar-tukar pendapat dan pengetahuan antara satu sama lain. Mereka yang berpengalaman biasanya mengetuai dan memberi tunjuk ajar kepada generasi yang lebih muda. Bagi yang kurang berpengalaman pula, mereka melaksanakan kerja-kerja ringan seperti menyusun kuih-muih dan menyususn pinggan-mangkok. Kaum lelaki memasak nasi, bubur dan sebagainya di kawasan halaman rumah. Kanak-kanak riuh-rendah berkeliaran, berkejar-kejaran sesama mereka, di kawasan berhampiran.

Pada sebelah petang mereka balik ke rumah masing-masing untuk bersalin pakaian. Sebelum meninggalkan rumah untuk berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama di tempat "malam tujuh", mereka menyalakan pelita atau obor di kawasan rumah dan jalan menuju ke rumah. Ada mereka yang menyalakan damar atau ketulan getah dalam tempurung kelapa sebagai lampu. Ini semuanya bergantung kepada kemampuan dan kemahuan masing-masing. Apa yang penting, kawasan rumah dan jalan menuju ke rumah mereka diterangi oleh cahaya pada malam tersebut. Ada cerita yang mengatakan, mereka memasang lampu bertujuan supaya roh datuk nenek mereka yang berada di alam kubur senang mengunjungi rumah anak cucu mereka. Arwah datuk nenek mereka yang sudah meninggal dikatakan turut sama menghadiri "malam tujuh". Bagaimanapun, ini berdasarkan cerita-cerita yang kurang jelas tentang kepercayaan orang pada zaman dahulu.

Sebelum masa berbuka puasa, penduduk kampung berkumpul di tempat "malam tujuh" diadakan dan jemputan dari kampung-kampung berdekatan datang berduyun-duyun untuk berbuka puasa bersama-sama pada malam itu. Semasa berbuka puasa, para tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti kuih-muih, bubur kacang hijau, bubur mee kuning yang mereka panggil "bubuu laksa" dan sebagainya. Kemudian diikuti pula dengan hidangan nasi. Pada malam itu diadakan juga bacaan doa selamat, doa arwah, tahlil dan khatam al-Quran. Sebagai penutup majlis, jamuan ringan dihidangkan.

Tugas menghidang makanan selalunya dilakukan oleh kaum remaja. Remaja lelaki menghidang di tempat lelaki dan remaja wanita menghidang di tempat wanita. Lalaki dan wanita menikmati jamuan di tempat yang berasingan. Kanak-kanak pula tidak diberikan sebarang tugas dan mereka dibiarkan bermain di kawasan rumah, tetapi dilarang bermain jauh-jauh di tempat-tempat gelap. Kanak-kanak diberitahu bahawa pada malam itu banyak "kait sanggul" berkeliaran. Apa yang dikatakan sebagai "kait sanggul" itu pun sebenarnya adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak seorang pun yang saya temui pernah melihat "kait sanggul". Mungkin ini hanya digambarkan bahawa ramai yang datang dari alam kubur dengan sanggul mereka berkait-kait untuk turut serta mengunjungi "malam tujuh". Mungkin juga ia hanya rekaan orang-orang terdahulu untuk menakutkan kanak-kanak supaya tidak berkeliaran jauh-jauh pada malam itu.

Walaupun "malam tujuh" mempunyai unsur keagamaan tetapi masih ada perkara-perkara penting yang kelihatannya terabai. Tempat solat fardhu maghrib dan isya tidak disediakan semasa "malam tujuh", dan ini menyebabkan ramai tetamu tidak menunaikan solat, sedangkan ia adalah perkara yang wajib sebagai orang Islam. Bagaimanapun, "malam tujuh" pada zaman sekarang agak berbeza daripada "malam tujuh" pada zaman dahulu. "Malam tujuh"bukan lagi diadakan di rumah orang perseorangan tetapi diadakan di masjid. Pada hari ini "malam tujuh" sudah diisikan dengan solat maghrib, isya dan tarawikh selain doa selamat, doa arwah, tahlil dan khatam al-Quran. Kewajipan agama semakin dititik beratkan. Selain itu, "malam tujuh" juga diadakan secara bergabung oleh kampung-kampung yang berhampiran.