PENDAHULUAN
Secara semula jadinya penterjemahan merupakan aktiviti yang sukar bagi penyunting. Lebih-lebih lagi jika penyunting itu tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang budaya dan konteks sejarah masyarakat yang punya bahasa serta tidak berpengetahuan mendalam tentang bidang yang diterjemah seperti berkaitan dengan dokumen undang-undang, agama, sastera dan sebagainya. Proses penterjemahan menjadi lebih rumit disebabkan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penterjemah. Namun, penterjemahan tetap merupakan aktiviti yang penting bagi membolehkan pelbagai bentuk bahan bacaan dinikmati oleh sasaran yang lebih luas. Kertas ini akan membincangkan tentang masalah yang dihadapi oleh penterjemah.
Mengikut Advance Oxford Dictionary, ”Translation is the process of changing somehting that is written or spoken into another language.” Dalam kertas ini, penterjemahan didefinisikan sebagai ”aktiviti mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain.” Penterjemah pula bermaksud orang yang melaksanakan kerja penterjemahan. Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber). Penterjemahan merupakan satu aktiviti yang penting untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kerana ia membolehkan masyarakat menikmati ilmu pengetahuan daripada budaya asing.
PRINSIP PENTERJEMAHAN
Sebelum melihat masalah yang dihadapi oleh penterjemah, adalah penting kita mengetahui prinsip-prinsip penterjemahan. Sebenarnya penterjemahan merupakan sesuatu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini adalah kerana penterjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca dan malah boleh menimbulkan salah faham terhadap maksud pengarang teks sumber. Oleh itu, penterjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip-prinsip tertentu. Antara prinsip-prinsip yang perlu diikuti adalah seperti berikut:
.
Tidak mengubah maksud pengarang teks asal
Prinsip ini adalah jelas untuk para penterjemah. Tetapi, pada praktiknya para penterjemah sebenarnya sukar untuk mengekalkan maksud pengarang asal secara 100%. Perubahan maksud sukar dielakkan kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa. Namun, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan sengaja.
Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca
Penterjemahan sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai.
Menghormati tatabahasa penerima
Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa penerima harus dihormati. Ini bermakna tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksa ke dalam teks terjemahan.
.
Menterjemah makna bahasa dan bukan menterjemah bentuk bahasa
.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit.
Prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas adalah sebagai panduan bagi seorang penterjemah untuk menghasilkan karya yang boleh dipercayai sebagai satu karya terjemahan yang boleh difahami serta selesa dibaca. Secara teorinya mungkin kerja-kerja penterjemahan kelihatan mudah, tetapi secara praktiknya ia tidak semudah itu kerana banyak aspek yang perlu diambil kira. Selain dari segi bahasa dan strukturnya, penterjemah juga harus mengambil kira budaya dan konteks sejarah bagi budaya berkenaan. Tanpa memahami budaya dan sejarahnya maka adalah sukar bagi seseorang penterjemah untuk melaksanakan atau membuat kerja-kerja terjemahan dengan tepat.
PROSES TERJEMAHAN
Penterjemahan dilakukan adalah untuk menterjemah makna teks sumber dan bukannya menterjemahkan bentuk bahasa teks sumber ke dalam bahasa sasaran. Penterjemahan seharusnya fokus kepada makna. Dari segi prosesnya, penterjemahan dimulakan dengan pentafsiran makna dan diakhiri dengan pengalihan makna ke dalam bahasa sasaran. Proses penterjemahan yang lebih terpeinci adalah seperti berikut:
Menterjemah kata
Kata-kata teks sumber harus ditafsir menurut konteks ayat kerana kata dalam sesuatu bahasa mungkin mempunyai lebih dari satu makna. Selepas sudah mengenal pasti makna kata-kata teks sumber, maka penterjemah harus mencari kata bahasa sasaran yang sepadan dengan makna kata itu. Kata yang dicari itu seharusnya mempunyai makna yang terdekat dengan istilah yang diterjemahkan.
Satu masalah umum yang sentiasa dihadapi oleh penterjemah ialah tiada kata-kata bahasa sasaran yang sepadan dengan bahasa sumber. Maka masalah ini harus diselesaikan melalui cara seperti berikut:
- Memadankan perkataan bahasa sumber dengan serangkai kata bahasa sasaran.
- Memadankan perkataan bahasa sumber dengan perkataan ciptaan penterjemah.
- Mengambil terus perkataan bahasa sumber ke dalam teks terjemahan dengan mengubahsuai sebutan/ejaannya menurut ciri-ciri fonologi bahasa sasaran
Menterjemah Ungkapan
Dalam mentafsir makna teks sumber, penterjemah juga harus mentafsir makna pada peringkat ungkapan, yakni peringkat frasa. Ini bermaksud penterjemah akan menterjemah satu frasa demi satu frasa. Ini adalah kerana ungkapan ini mungkin akan membawa maksud kiasan dan dengan itu kita tidak boleh mentafsir makna ungkapan berkenaan berdasarkan makna kata-kata yang membentuknya. Contohnya, ungkapan ”panjang tangan” tidak boleh diterjemahkan sebagai ”long handed”, kerana dalam bahasa Melayu ”panjang tangan” membawa makna kiasan ”suka mencuri”. Perkataan ”breadwinner” dalam bahasa Inggeris tidak boleh diterjemahkan secara literal atau harfiah kerana maksudnya ”pencari nafkah” dan bukannya ”pemenang roti”. Ini memerlukan kefahaman tentang budaya asing.
Menterjemah Ayat
Dalam menterjemahkan ayat, unsur makna dalam ayat teks asal boleh dipindah ke dalam sebuah ayat bahasa sasaran, ataupun ke dalam beberapa ayat bahasa sasaran. Ini bermaksud satu ayat daripada teks asal tidak semestinya dipindah dengan satu ayat teks sasaran, tetapi boleh dipindahkan dengan beberapa ayat teks sasaran.
Tindakan satu ayat kepada banyak ayat dalam penterjemahan adalah supaya ayat yang dihasilkan daripada penterjemahan tidak terlalu panjang sehingga menyusahkan pemahaman para pembaca. Dalam keadaan tertentu, ayat dalam teks asal mungkin terlalu panjang dan sekiranya diterjemahkan terus ke dalam satu ayat maka ayat itu akan menghasilkan kesan yang buruk.
Contohnya, ayat “The content of school textbooks is often the issue of debate, as their target audience is young people, in the term ”whitewashing” is the one commonly used to refer to selective removal of critical or damaging evidence of comment” diterjemahkan sebagai “Penapisan isi kandungan buku teks sekolah adalah satu isu pendebatan.Ini adalah kerana sasaran pembaca bagi buku teks ialah orang muda. Dalam pendebatan ini, perihal memindahkan dalil-dalil yang membahaya sentiasanya dikaitkan dengan konsept “penyucian’. Dalam bahasa Inggeris cuma satu ayat tetapi apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu menjadi tiga ayat.
KESUKARAN DALAM AKTIVITI PENTERJEMAHAN
Kesukaran yang dihadapi oleh penterjemah dalam kerja-kerja penterjemahan adalah disebabkan kurang keupayaan untuk mematuhi prinsip-prinsip dan proses penterjemahan. Penterjemah yang menguasai bahasa sumber dan bahasa sasaran dengan baik tidak semestinya boleh menterjemah dengan baik. Penterjemah bukan hanya sekadar mengalihbahasakan karya dari bahasa sumber ke bahasa yang lain tetapi juga wajib memahami situasi dan konteks karya yang diterjemahkan. Jika yang diterjemahkan itu karya seni, penterjemah perlulah mempunyai rasa seni juga. Selain memindahkan gagasan atau makna, penterjemah juga perlu memindahkan bentuk. Contohnya, prosa menjadi prosa dan puisi tetap menjadi puisi. Penterjemah yang tidak berpengetahuan tentang puisi akan menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan karya-karya yang berbentuk puisi. Dengan demikian, timbul berpendapat bahawa yang boleh menterjemahkan karya sastera itu hanyalah penterjemah yang terdiri daripada sasterawan.
Terdapat pelbagai sebab kenapa penterjemah tidak boleh menterjemah dengan baik. Antaranya adalah disebabkan penterjemah kurang menguasai bahasa asal atau sumber dengan baik dan kurang memahami konteks dan latar belakang budayanya. Kadang kala penterjemah menguasai bahasa asalnya, tetapi konteks zaman atau peristiwa sejarahnya kurang dikuasai. Akibatnya, penterjemahan yang dibuat tidak tepat kerana tidak menguasai konteks zaman dan keadaan sosialnya.
Selain itu, penterjemah kurang menguasai bahasa sasaran. Penguasaan bahasa sasaran sebenarnya lebih penting daripada penguasaan bahasa sumber. Kalau penterjemah tidak tahu bahasa sumber, dia boleh merujuk kamus, beratanya kawan atau merujuk internet. Tetapi, kalau penguasaan pentenjemah itu terbatas dalam bahasa sasaran dan pengetahuannya tentang nahu dan susunan ayat juga terbatas, maka dengan sendirinya hasilnya juga kurang memuaskan. Penterjemah seharusnya lebih menguasai bahasa sasaran di samping menguasai bahasa sumber dengan baik. Jika penterjemah tidak menguasai bahasa sumber dengan baik, tetap menjadi masalah.
Untuk melahirkan hasil terjemahan yang bernilai, penterjemah perlu menentukan teks terjemahan berdasarkan kesannya terhadap pembaca. Ada terjemahan bahan-bahan yang ringan, yang tidak begitu mementingkan ketepatan makna, contohnya iklan. Dalam iklan, kesan promosi adalah lebih dipentingkan daripada ketepatan maknanya dalam teks asal. Bagi terjemahan bahan-bahan yang berat seperti dokumen undang-undang, teks agama dan buku-buku ilmiah pula adalah dituntut supaya mempunyai makna yang betul-betul sama dengan teks sumber.
Penterjemahan yang dilakukan dalam masa yang terhad, seperti menterjemahkan bahan untuk berita, juga boleh menyebabkan terjemahan tidak begitu tepat. Kemampuan untuk menterjemah dengan cepat adalah perlu bagi penterjemah berita-berita akhbar.
Perterjemahan yang kurang tepat berlaku di mana-mana sahaja, termasuklah bahan-bahan terjemahan yang dibuat oleh institusi yang bertauliah. Sebenarnya saya sendiri pernah minta bantuan daripada salah sebuah institusi terjemahan di negara ini untuk menterjemahkan buku kecil yang diterbitkan oleh kementerian tempat saya bertugas. Terdapat beberapa terjemahan yang kurang tepat bagi tujuan bahan bacaan peringkat antarabangsa . Contohnya, perkataan “Setiausaha Bahagian” diterjemahkan ke Bahasa Inggeris “Divisional Secretary”. Rasanya pembaca di peringkat antarabangsa akan lebih faham jika terjemahannya “Undersecretary”.
Terjemahan yang kurang tepat bukan hanya berlaku dalam terjemahan dari Bahasa Malayu ke Bahasa Inggeris atau sebalikny, tetapi ia juga berlaku dalam terjemahan bahasa-bahasa lain seperti Arab dan Perancis. Masalah penterjemahan di kalangan penterjemah-penterjemah Arab pernah dibincangkan oleh Imad Ali Almaghary dalam artikelnya bertajuk ”Translation Problems Amongst Arab Translators.” Menurut beliau kebanyakan masalah yang dihadapi oleh penterjemah Arab ialah masalah semantik, seperti menterjemahkan ”The United States Secretary of States” ke dalam Bahasa Arab dengan maksud yang berlainan, iaitu “Prime Minister” atau “Perdana Manteri.” Sesetengah terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Inggeris dan Jerman juga dikatakan ada kalanya tidak begitu tepat. Ini berlaku dalam terjemahan tape video pengakuan Osama bin Laden yang disiarkan dalam media berbahasa Inggeris dan Jerman, seperti mana yang dijelaskan oleh Robert Lederman dalam artikelnya bertajuk “German Media: bin Laden ‘Smoke Gun’ Tape translation Inaccurate.”
Pembarita-pemberita asing telah tidak sependapat dalam membuat menterjemahkan ucapan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pada bulan Oktober 2005. Peribahasa (idiom) Parsi , “bayad az safheh-ye ruzgar mahv shaved,” telah menimbulkan pelnagai pandangan terhadap maksudnya. Peribahasa tersebut diterjemahkan ke bahasa Inggeris, that Israel “should be wiped off the map.” Ada yang menterjemahkan maksudnya hanya sebagai rujukan sejarah sahaja dan ada pula yang menganggapnya sebagai deklarasi perperangan. Penyiaran berita terjemahan yang tidak jelas maksudnya boleh mengelirukan pembaca.
Tidak kurang juga rumitnya untuk menterjemahkan bahasa Spanish kepada bahasa Inggeris kerana bahasa Spanish mempunyai warisan yang kaya dengan peribahasa dan pelbagai ungkapan yang sukar diterjemahkan. Contohnya, ungkapan “Hay moros en la costa” secara literalnya diterjemahkan kepada ”there are Mooors on the cost” dalam bahasa Inggeris, tetapi terjemahan yang lebih tepat pula ialah “watch out”. Begitu juga dengan ungkapan “poner la inglesia en las manos de Lutero” yang diterjemahkan secara literal, “to put the Church in the hand of Luther”. Tetapi terjemahan yang paling sesuai dalam bahasa Inggeris pula ialah “to let the fox guard the chicken.” Namun, terjemahan ini telah menghilangkan rujukan agama dan budaya.
Kebanyakan suratkhabar dan majalah antarabangsa hari ini banyak bergantung kepada terjemahan. Ini telah berlaku di negara-negara Timur Tengah di mana ramai wartawan yang tidak faham bahasa Arab. Memandangkan keadaan yang demikian, mereka terpaksa mengupah perterjemah amatur kerana bayaran bagi penterjemah profesional terlalu mahal. Wartawan tidak berupaya untuk mengesahkan ketepatan terjemahan kerana mereka sendiri tidak memahami bahasa sumber.
Mungkin ada yang berpendapat manusia boleh digantikan dengan mesin untuk melaksanakan kerja-kerja penterjemahan bagi mengatasi masalah penterjemahan yang dilakukan oleh manusia. Sebenarnya sudah ada terjemahan mesin, iaitu proses mengalihbahasa atau terjemahan automatik daripada satu bahasa ke satu bahasa lain yang dilakukan oleh komputer. Bagaimanapun, terjemahan mesin terbukti sebagai satu matlamat yang sukar dicapai. Walaupun, sudah ada beberapa sistem terjemahan mesin (sungguhpun tidak sempurna) yang mampu menghasilkan terjemahan yang berkualiti untuk digunakan dalam beberapa bidang untuk membantu terjemahan manusia tetapi mesin belum lagi dapat menggantikan manusia sepenuhnya.
Perbincangan di atas dapat menggambarkan bahawa masalah penterjemahan adalah merupakan masalah sejagat yang berlaku dimana-mana sahaja. Berdasarkan contoh-contoh yang diberikan, kita akan dapat memahami betapa sukarnya untuk membuat terjemahan yang tepat bagi membolehkan pembaca mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.
ANALISIS
Kesilapan terjemahan berlaku disebabkan oleh masalah yang dihadapi oleh penterjemah dalam proses penterjemahan. Kesilapan terjemahan mengakibatkan pembaca/pendengar mendapat maklumat yang silap atau salah. Ini boleh menimbulkan salah tanggapan pembaca/pendengan terdap sesuatu isu dan boleh menyebabkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku. Selain itu, kredibiliti penterjemah juga akan terjejas.
CADANGAN
Bagi mengurangkan masalah ketidaktepatan terjemahan adalah disarankan supaya penterjemah meningkatkan pengetahuan terhadap bahasa sumber dan bahasa sasaran di samping meningkat kefahaman tentang budaya asing yang berkenaan. Penterjemah juga perlu meningkatkan kesungguhan dalam melaksanakan kerja-kerja penterjemahan.
KESIMPULAN
Masalah yang dihadapi oleh penterjemah dalam melaksanakan kerja-kerja terjamahan adalah disebabkan oleh pelbagai factor seperti berikut:
- Kekurang kemahiran bahasa sumber;
- Kekurang kemahiran bahasa sasaran;
- Kekurang memahami budaya dan sejarah;
- Kesukaran memadankan bahasa sumber dengan bahasa sasaran;
- Masalah menterjemah ungkapan;
- Ketiadaan bahasa yang sesuai;
- Kesuntukan masa (khususnya penterjemahan berita akhbar yang perlu segera); dan
- Kesukaran mengekalkan maksud asal 100%.
Perterjemah perlu mengatasi masalah-masalah tersebut untuk menghasilkan terjemahan yang tepat dan berkualiti.