Friday, November 7, 2008

SETERIKA (IRON) ZAMAN DAHULU DAN SEKARANG

Gambar ini menunjukkan seterika (iron) yang digunakan pada zaman dahulu. Dalam dialek Kadayan perkataan seterika disebut taikah. Untuk mengatakan yang mana satu lebih baik dan berkualiti antara seterika zaman dahulu dan zaman sekarang adalah sukar kerana ia direka dan digunakan pada zaman yang berlainan. Kebaikan sesuatu benda rekaan pada zaman dahulu harus dinilai mengikut zamannya dan begitu juga dengan benda yang direka pada zaman sekarang. Seterika zaman sekarang dan seterika zaman dahulu masing-masing mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Seterika yang kita gunakan hari ini kelihatan lebih menarik, lebih cantik dan lebih senang dugunakan, manakala seterika yang direka pada zaman dahulu boleh digunakan di mana-mana walaupun di tempat yang tidak mempunyai bekalan elektrik (seperti di rumah yang tiada bekalan elektrik atau semasa perkhemahan di hutan) dan lebih tahan lama kerana ia dipebuat daripada tembaga bercampur besi tulin. Contohnya, seterika dalam gambar ini sudah berusia melebihi 50 tahun.

LAMPUNG PANAH

Gambar ini menunjukka sejenis lampu yang dikenali sebagai Lampung Panah oleh suku kaum Kadayan di kampung Banting. Saya sendiri tidak tahu apa nama sebenar lampu ini dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Pada zaman dahulu lampu ini biasanya digunakan untuk menyuluh semasa menangkap ikan di sungai atau di laut dan memburu binatang di hutan pada waktu malam. Lampu ini diperbuat daripada tembaga dan menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakarnya. Lampu seperti ini tidak lagi gunakan pada zaman sekarang kerana terdapat pelbagai jenis lampu yang lebih terang dan lebih senang dibunakan. Lebih-lebih lagi lampu seperti ini tidak lagi banyak (tidak ada langsung) dijual di kedai-kedai yang berhampiran dengan kampung tersebut.

Thursday, November 6, 2008

HARAM JUAL DI SABAH, TIDAK DI TRENGGANU

Polis marin telah merampas kira-kira 10,000 biji telur penyu yang diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di Sabah, khususnya di daerah Sandakan. Walaupun penjualan telur penyu diharamkan di Sabah tetapi ia masih juga dijual secara tersembunyi kerana permintaan orang ramai yang menggalakkan. Kata orang kampung saya, "taloo panyu di Sandakan dijual batapuk-tapuk." Kalau anda berkunjung ke Sandakan, mungkin anda terjumpa seseorang menggunakan isyarat dengan tangan sebagai memaklumkan bahawa dia ada menjual telur penyu. Pernah juga saya nampak orang yang memberikan isyarat dengan melanbung-lambungkan bola ping pong.
.
Penjualan telur penyu diharamkan di Sabah tetapi tidak diharamkan di Trengganu. Hari itu saya mengunjungi salah sebuah pasar di Trengganu dan saya melihat beberapa orang wanita menjual telur penyu secara terbuka. Apa yang saya lihat terdapat sekurang-kurangnya dua jenis telur penyu yang mereka jual. Seorang wanita yang menjual telur tersebut memberitahu saya bahawa salah satu jenis telur penyu yang dia jual itu adalah "telur penyu dari Sabah." Saya merasa hairan kenapa telur penyu Sabah hanya diharamkan dijual di Sabah dan tidak diharamkan dijual di Trengganu.
.
Hari itu saya pergi ke Kuala Penyu tetapi saya tidak nampak pun telur penyu dijual di sana. Apa yang saya nampak dalam perjalanan saya dari Beaufort hanya replika penyu yang diletakkan di bulatan persimpangan ke Kuala Penyu dan Menumbuk. Replika itu sangat indah sekali untuk tarikan pelancung dalam dan luar negeri.
.
Kalau anda ingin melihat replika penyu datanglah ke Kuala Penyu, kalau ingin melihat telur penyu di jual secara terbuka datanglah ke Kuala Trengganu, kalau ingin melihat telur penyu dijual dengan menggunakan isyarat datanglah ke bandar Sandakan dan kalau ingin melihat penyu datanglah ke Pulau Salingan, Sandakan.

OBAMA JANGKA UMUM PEGAWAI-PEGAWAI UTAMA

CHICAGO 6 Nov. – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang akan mewarisi krisis kewangan terburuk di negara ini dalam tempoh berpuluh-puluh tahun, dijangka mengumumkan calon beliau bagi meneraju beberapa jawatan utama ekonomi, tidak lama lagi.

Obama juga mungkin mengumumkan calon beliau sebagai Setiausaha Perbendaharaan seawal hari ini.

Antara tokoh yang dipertimbangkan untuk jawatan Perbendaharaan ialah Presiden Bank Rizab Persekutuan cawangan New York, Timothy Geithner; bekas Setiausaha Perbendaharaan, Lawrence Summers dan bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Paul Volcker.

Selepas memenangi pilihan raya kelmarin yang akan menjadikan beliau Presiden kulit hitam pertama AS, Obama juga semakin hampir untuk mengumumkan nama ketua kakitangan beliau.

Anggota Dewan Perwakilan Parti Demokrat dari Illinois, Rahm Emanuel telah ditawarkan jawatan mengetuai kakitangan Obama di White House, kata sumber Demokrat. - Reuters

Wednesday, November 5, 2008

KALAU MAHU JADI PEMIMPIN..............

Bukan semua orang boleh jadi pemimpin. Kalau mahu jadi pemimpin kena tahan lasak. Ada kalanya pemimpin dihormati, disegani, disanjung dan dipuji tetapi ada kalanya pula pemimpin dicaci, dimarah, dikritik dan malah ada yang dibawa ke mahkamah.
.
Pernah saya terdengar daripada cerita orang lama bahawa pada awal tahun 60an dahulu susah mencari orang yang mahu bertanding sebagai wakil rakyat sehingga terpaksa minta kakitangan kerajaan meletak jawatan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya. Ini seolah-olah pada zaman itu tidak ramai orang yang mahu jadi pemimpin. Pada zaman sekarang ini lain pula keadaannya, orang semakin ramai yang berebut-rebut mahu jadi pemimpin sehingga sanggup melobi orang-orang tertentu dan sanggup menggunakan wang untuk memancing undi.
.
Saya juga pernah terdengar orang bercerita tentang perbezaan taraf kedudukan orang yang mahu jadi pemimpin di negara maju dan negara yang baru membangun. Mungkin yang dikatakan baru membangun itu ialah seperti pada zaman negeri kita mula-mula mencapai kemerdekaan dahulu. Orang yang mahu menjadi pemimpin di negara maju ialah orang yang sudah sedia kaya ingin mencari kuasa, tetapi orang yang mahu menjadi pemimpin di negara baru membangun ialah orang yang belum kaya ingin mencari kekayaan. Mungkin ini cuma andaian sahaja untuk dijadikan cerita berdasarkan pemerhatian fizikal terhadap pemimpin-pemimpin yang mempunyai rumah dan kereta besar setelah menjadi pemimpin. Sebelum menjadi pemimpin, rumah............ dan kereta ............
.
Adakah kekayaan menjadi pemboleh ubah (dependent variables) kepada kepimpinan ataupun kepimpinan menjadi pemboleh ubah kepada kekayaan ?

Tuesday, November 4, 2008

IKLAN JAWATAN YANG TIDAK MEMBERI PELUANG SEMUA KAUM

Dalam Harian Ekspres hari ini saya terbaca iklan jawatan kosong Pegawai Ehwal Ekonomi di Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN). Salah satu syarat untuk jawatan tersebut ialah fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin.
.
Saya hairan kenapa jawatan dalam koperasi yang dinaungi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberikan syarat "fasih bertutur dan menulis dalam Bahasa Mandarin" untuk jawatan Pegawai Ehwal Ekonomi. Saya melihat iklan seperti ini seolah-olah tidak memberi peluang seluas-luasnya kepada orang Melayu dan Bumiputra untuk memohonnya kerana kebanyakan orang Melayu dan Bumiputra Sabah tidak mahir menulis dan bertutur dalam Bahasa Mandarin. Saya tidak hairan melihat syarat tersebut kalau jawatan itu dalam syarikat milik persendirian yang tidak ada kaitan dengan agensi kerajaan.

Monday, November 3, 2008

SEIRING TIDAK SEHALUAN, SATU KUMPULAN BUKAN SATU PASUKAN

Suasana dunia hari ini kelihatannya semakin kacau-bilau dan membingungkan. Ramai manusia di dunia ini mengaku mempertahankan perpaduan dan silaturahim tetapi pada hakikatnya tidak berpuas hati antara satu sama lain. Caci-mencaci, tuduh-menuduh dan salah-menyalahkan antara satu sama lain seakan-akan menjadi perkara biasa. Akhirnya, mereka hanya berjalan seiring tetapi tidak sehaluan. Mereka berada dalam satu kumpulan tetapi bukan dalam satu pasukan. Rambut mereka sama hitam tetapi isi hati berlainan.