Wednesday, January 28, 2009

PERTIKAIAN ANTARA PRESIDEN PBS DAN PRESIDEN PBRS SEMAKIN REDA

Terima kasih kepada Y.A.B. Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri, kerana campur tangan untuk meredakan perang mulut antara Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Tan Sri Joseph Kurup, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengenai pemilihan calon jika berlaku pilihan raya kecil Kawasan Parlimen Pensiangan nanti. Ketua Menteri mahu semua orang bersatu padu dan menerima sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) sekiranya pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan diadakan.
.
Semua ahli komponen BN memang sepatutnya bersatu padu dan menyokong sesiapa sahaja yang menjadi calon jika ingin menang dalam pilihan raya. Sekiranya pilihan raya kecil Pensiangan diadakan, pemimpin-pemimpin komponen BN harus sama-sama berganding bahu untuk memastikan calon BN meraih kemenangan dan tidak kecundang seperti pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini.
.
Kemenangan BN dalam pilihan raya bukanlah semata-mata untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu atau untuk kepentingan BN sahaja, tetapi untuk rakyat keseluruhannya. Pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu mengambil perhatian terhadap masalah rakyat yang memilih mereka. Kalau mereka mengabaikan kepentingan rakyat, mungkin suatu masa nanti rakyat tidak akan memilih mereka lagi.
.
Penduduk Pensiangan pasti akan senang hati kalau calon pilihan raya kecil Pensiangan itu nanti orang yang mereka sukai. Lebih-lebih lagi kalau orang itu benar-benar bertanggungjawab untuk membela nasib mereka selepas menang dalam pilihan raya. Jangan pula selepas menang nanti bayang-bayang pun tak nampak.

Thursday, January 22, 2009

HENTIKANLAH PERTIKAIAN TENTANG PEMILIHAN CALON PILIHAN RAYA KECIL PENSIANGAN

Pertikaian antara Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan tentang pemilihan calon, jika berlaku pilihan raya kecil Pensiangan nanti, nampaknya semakin menjadi-jadi. Pertikaian seperti ini bukan banyak kebaikan dan faedahnya kerana ia boleh mendedahkan kepada umum tentang pelbagai kelemahan masing-masing semasa menjadi wakil rakyat di kawasan itu pada masa lampau.
.
Pembangkang mungkin tersenyum mendengar pertikaian kedua-dua pemimpin veteran komponen Barisan Nasional (BN) itu dan mungkin mereka ingin terus mendengar pertikaian selanjutnya untuk mereka jadikan bahan dalam kempen pilihan raya kecil Pensiangan nanti.
.
Kalau boleh, hentikanlah pertikaian seperti ini. Berbincanglah baik-baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dan tidak perlulah dihebahkan sangat dalam akhbar.
..
Untuk memilih calon nanti serahkan sajalah kepada pemimpin atasan BN. Tetapi pemimpin atasan perlu juga mengambil kira pandangan dari akar umbi kerana orang yang akan menentukan kemenangan BN nanti ialah pengundi di kawasan itu bukannya pemimpin atasan.

Monday, January 19, 2009