Monday, December 8, 2008

KRAFTANGAN TRADISI PERLU DIPELIHARA

Generasi terdahulu suku kaum Kadayan Kampung Banting mempunyai kebolehan membuat pelbagai jenis kraftangan yang berupa anyaman daripada buluh, mangkuang (bangkuang dalam dialek Kadayan), daun pandan, rotan, halingkawang, bamban dan sebagainya. Bahan-bahan yang mereka gunakan itu adalah dari sumber alam semula jadi yang terdapat di persekitaran tempat tinggal mereka. Mungkin mereka yang tinggal di tempat lain menggunakan sumber alam yang berlainan pula kerana persekitaran yang berbeza. Gambar di atas menunjukkan takiding dan ngiyu (nyiru) yang diperbuat daripada anyaman buluh. Selain buluh, kulit batang bamban juga boleh digunakan untuk membuat takiding dan ngiyu. Bingkai takiding dan ngiyu biasanya diperbuat daripada rotan dan diikat dengan halingkawang.
.
Nampaknya pada hari ini sudah semakin kurang generasi baru yang mewarisi kepakaran membuat kraftangan yang berupa anyaman, manakala generasi lama yang berkebolehan pula semakin berkurangan. Sumber untuk membuat anyaman juga semakin berkurangan dan kalaupun ada ia hanya boleh didapati di tempat yang agak jauh. Kekurangan bahan daripada sumber alam semula jadi menyebabkan ada di anatara mereka yang menggunakan bahan-bahan lain yang terdapat di pasaran sebagai gantian. Bahan-bahan seperti plastik dan sebagainya senang didapati di kedai-kedai dan supermarket tanpa bersusah payah mencari di hutan.


Kraftanga dalam gambar di atas dipangil bahai oleh suku kaum Kadayan. Bahai dalam gambar ini diperbuat daripada bahan yang diperolehi dari kedai atau supermarket. Walaupun bahai ini kelihatan cantik dan menarik tetapi ia agak terjejas sedikit dari segi keasliannya kerana ia bukan lagi diperbuat daripada bahan asli tempatan. Secara tradisinya, bahai biasanya diperbuat daripada mangkuang dan talinya daripada kulit sejenis kayu yang dipanggil timbaan oleh suku kaum Kadayan.
.
Terdapat berbagai-bagai lagi kraftangan suku kaum Kadayan yang diperbuat daripada buluh, rotan, mangkuang, daun pandan, bamban dan sebagainya. Contohnya, buluh dan rotan boleh digunakan untuk membuat balatak (raga) dan daun mangkuang dan pandan boleh digunakan untuk anyaman tikar, bakul dan bayung .
.
Saya bimbang kraftangan tradisi Kadayan yang berupa anyaman buluh, rotan, mangkuang, padan, bamban dan sebagainya akan beransur pupus jika generasi tua tidak mewariskan kepakaran mereka kepada generasi muda atau generasi muda tidak berminat untuk mempelajarinya.
.

1 comment:

RANDAVI said...

Ya, memang patut kita pelihara kraftangan tradisi kita.Kraftangan di Sabah ini memang berbagai-bagai jenis, bentuk dan motif akibat daripada kepelbagaian suku kaum. Kaum Rungus, umpamanya, mempunyai kraftangan yang berbagai-bagai bentuk, antaranya barazit, saging,rolibu, raza, bubu, rinago, gozong, ajalan,kukurungan, linazang, badu, linongkitan, tinohian, tinggol, sulau, dapu dan banyak lagi. Dahulu kala, orang Rungus membuat segala keperluan mereka. Mereka terpaksa mencipta kerana masa dahulu kala hampir tidak berlaku perdagangan barangan dengan kaum lain jadi mereka(Rungus) hampir exclusively dapat hidup tanpa bersandar pada kaum lain. Tapi kini, segalanya sudah berubah. Barang-barang yang disebut tadi sudah berkurangan kerana barangan moden sudah mengambil tempatnya.